Ketua Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang Encik Pritam Singh akan meneruskan peranannya di Parlimen dan tanggungjawabnya di majlis bandaran sehingga semua proses perundangan sudah selesai.
Demikian dinyatakannya menerusi kenyataan di Facebook dan Instagram selepas berdepan dua tuduhan pada 19 Mac kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Beliau dikenakan tuduhan itu setelah polis membuka siasatan berhubung keterangannya kepada COP susulan kontroversi melibatkan bekas Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan pada 2021.
Hantaran tersebut menjelaskan: “Saya akan teruskan dengan semua tanggungjawab saya di Parlimen dan majlis bandaran – termasuk, tetapi tidak terhad pada, sesi bertemu penduduk, jalan-jalan di estet, jangkauan parti, antara lain.”
Beliau menambah apabila mula-mula menceburi politik, beliau sedia maklum cabaran yang harus ditempuhi untuk “membina sistem politik yang lebih seimbang dan demokratik” di Singapura.
“Walaupun usaha ini berterusan, adalah satu keistimewaan dan penghormatan bagi saya untuk jadi sebahagian daripada pasukan WP yang memajukan usaha ini,” ujarnya.
Daripada kertas pertuduhan, Encik Pritam dituduh telah memberi jawapan palsu kepada soalan yang diajukan oleh COP semasa sidang pada 10 Disember dan 15 Disember 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg