Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, berkata beliau bersedia memecat anggota kanan parti itu, Encik Leon Perera, sekiranya Encik Perera tidak meletak jawatan setelah rahsia tentang hubungan sulitnya dengan seorang lagi anggota kanan parti terbongkar.
Namun, Encik Pritam berkata peletakan jawatan itu bukan dituntut ekoran berlakunya hubungan sulit tersebut, tetapi kerana Encik Perera tidak berterus terang dengan kepimpinan parti apabila soalan tentang dakwaan hubungan sulit itu diajukan kepadanya.
Encik Perera dan Cik Nicole Seah telah mengaku menjalinkan hubungan sulit bersama satu sama lain sedangkan kedua-duanya telah berumah tangga dengan orang lain.
Hubungan itu bermula selepas Pilihan Raya Umum 2020 dan telah berakhir.
Namun, mereka cuma mengaku pada petang Isnin selepas ditanya oleh Encik Pritam, setelah satu video menunjukkan Encik Perera mengusap tangan Cik Seah di sebuah restoran tersebar awal sebelum itu pada hari sama.
Ini sedangkan dakwaan tentang hubungan sulit mereka itu telah tersebar dalam parti sejak hujung 2020 dan awal 2021, tetapi setiap kali anggota parti bertanya kepada Encik Perera dan Cik Seah tentangnya, mereka menafikannya.
“Parti ini mempunyai artikel dalam perlembagaannya… iaitu untuk bersikap jujur dan berterus terang sebagai anggota parti dalam urusannya dengan parti dan rakyat Singapura. Jika anda melanggarnya maka akibatnya adalah berat,” kata Encik Pritam di sidang media pada Rabu.
“Sekiranya beliau tidak menawarkan peletakan jawatannya, saya akan mengesyorkan kepada CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) supaya beliau dipecat daripada parti,” tambahnya.
Cik Seah telah meletak jawatan daripada parti itu pada Selasa dan Encik Perera, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) divisyen Serangoon dalam GRC Aljunied, meletak jawatan pada Rabu.
Encik Perera juga telah memberitahu pemangku Speaker Parlimen yang beliau meletak jawatan dan mengosongkan kerusinya di Parlimen.
Encik Pritam berkata Encik Perera adalah seorang AP yang sangat berkesan.
“WP di Parlimen kehilangan seorang anggota pasukan yang penting. Saya serahkan kepada orang ramai untuk menentukan betapa berkesannya Encik Perera di Parlimen. Beliau cemerlang dalam masyarakat juga. Tetapi, ada perkara lain yang kita tidak boleh abaikan. Standard perlu dikekalkan dan disiplin parti amat penting jika kita mahu menjadi parti yang serius dalam melanjutkan kepentingan Singapura dan warga Singapura,” kata Encik Pritam.
“
“Parti ini mempunyai artikel dalam perlembagaannya… iaitu untuk bersikap jujur dan berterus terang sebagai anggota parti dalam urusannya dengan parti dan rakyat Singapura. Jika anda melanggarnya maka akibatnya adalah berat. Sekiranya beliau tidak menawarkan peletakan jawatannya, saya akan mengesyorkan kepada CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) supaya beliau dipecat daripada parti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg