ANGGOTA Parlimen GRC Aljunied, Encik Pritam Singh, telah diundi menjadi Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) tanpa pertandingan, semasa persidangan parti itu di ibu pejabatnya di Teambuild Centre, 701 Geylang Road, sebentar tadi (8 April).
Ini menjadikannya satu peralihan kuasa yang lancar dalam parti pembangkang terbesar Singapura itu.
Encik Singh mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Low Thia Khiang.
Menurut akhbar The Straits Times, Encik Singh merupakan satu-satunya anggota yang dicalonkan bagi jawatan itu.
Dua tahun lalu, Encik Low bertanding dengan Encik Chen Show Mao, 57 tahun, bagi jawatan itu tetapi Encik Low yang diundi untuk memimpin WP.
Oleh itu, timbul spekulasi sama ada Encik Chen akan melakukannya lagi tahun ini tetapi itu tidak berlaku.
Dalam pada itu, pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, 53 tahun, diundi semula bagi jawatan pengerusi parti itu tanpa pertandingan.
Encik Singh, 41 tahun, disebut-sebut bakal mengambil alih Encik Low, 61 tahun, sejak Encik Low mengejutkan warga Singapura November lalu dengan mengatakan bahawa beliau akan mengundur diri daripada jawatan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg