SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Program bantu lebih fahami isu agama dalam konteks semasa

Program bantu lebih fahami isu agama dalam konteks semasa

May 26, 2021 | 5:30 AM

Program bantu lebih fahami isu agama dalam konteks semasa

AKUI KEPENTINGAN PERTINGKAT DIRI: Ustazah Zahratur merupakan antara asatizah yang mengambil bahagian dalam program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP).- Foto BH oleh GIN TAY
AKUI KEPENTINGAN PERTINGKAT DIRI: Ustazah Zahratur merupakan antara asatizah yang mengambil bahagian dalam program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP).- Foto BH oleh GIN TAY -

DALAM suasana pandemik kini, asatizah perlu berdepan dengan pelbagai cabaran baru yang timbul termasuk menyesuaikan diri dengan pendigitalan.

Ini diakui pensyarah di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi, yang menambah bahawa isu agama yang timbul berkaitan wabak ini juga suatu yang baru buat semua.

Justeru, usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam membantu dan mempersiap asatizah sepertinya dalam berdepan dengan isu berkaitan konteks zaman kini dan masa depan amat dialu-alunya dan berguna.

Ustazah Zahratur, 27 tahun, merupakan antara asatizah yang mengambil bahagian dalam program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP).

RLTD akan merangkumi peluang untuk mendampingi pemimpin mapan agama dan masyarakat, yang akan membantu bakat asatizah meluaskan lagi rangkaian mereka dan menimba sudut pandangan baru terhadap isu sosioagama kontemporari.

Ketika dihubungi Berita Harian, Ustazah Zahratur berkata:

"Ia adalah satu program atau langkah yang baik dan dapat membantu asatizah dalam mengembangkan potensi kami yang sedia ada serta menggilap bakat asatizah dan mungkin memperkenalkan asatizah kepada kemahiran baru.

"Perkara ini dapat memberikan satu nilai tambah dalam bekalan asatizah bagi mengatasi cabaran masa kini dan yang akan datang kerana bentuk cabaran yang dihadapi masa kini agak mudah berubah dan banyak di antaranya adalah perkara yang baru."

Dua bulan lalu, beliau berpeluang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan tidak formal bersama Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, mengenai pemikiran keagamaan dalam masyarakat pascapandemik.

Selain mendengar cabaran dan pengalaman yang dihadapi asatizah, Ustazah Zahratur memberi cadangan supaya dapat diadakan satu pertemuan atau program asatizah muda bersama asatizah mapan.

Ini supaya dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk menyumbang kepada sektor agama dan membekalkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, katanya.

Menekankan peri penting asatizah terus mempertingkat diri dan mencapai potensi mereka sepenuhnya, Ustazah Zahratur berkata beliau ingin meraih kemahiran dalam bidang sosiologi dan politik.

"Sikap ingin mempertingkatkan diri dan kecekapan adalah tuntutan agama untuk setiap Muslim tidak kira bidang apa yang individu itu dalami. Ini supaya kita dapat memberi manfaat dengan sebaiknya serta menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan berbekalkan ilmu dan kemahiran yang kita ada dengan potensi yang telah diberikan Allah kepada kita.

"Lebih-lebih lagi dalam era pandemik ini yang memerlukan kita mempunyai kecekalan serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam mengharungi kehidupan dan ujian yang mendatang," ujarnya.

BIODATA

Nama: Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi

Usia: 27 tahun

Lulusan: Sarjana Muda dan Sarjana, Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Jordan

Pekerjaan: Pensyarah bidang Syariah dan Usuluddin di Pergas

Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS): Raih ARS pada 2017-2018

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg