ENTERPRISE Singapore (ESG) akan memperuntukkan sehingga $180 juta bagi sebuah program baru untuk membantu perniagaan tempatan membina keupayaan dalam bidang kemampanan dan merebut peluang dalam ekonomi hijau.
Dilancarkan semalam, Program Kemampanan Perusahaan itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 6,000 syarikat dalam tempoh empat tahun mendatang.
Program itu, yang kali pertama diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, akan menyokong bengkel latihan, projek pembangunan keupayaan dan produk, dan pendaya utama seperti pensijilan dan pembiayaan.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, yang mengumumkan pelancaran program itu semalam, berkata keprihatinan mengenai perubahan iklim telah mendorong pemerintah, korporat dan pengguna memberi penekanan lebih besar dalam mengurangkan jejak karbon dan mewujudkan lebih banyak amalan mampan.
Pemerintah sebelum ini telah mengumumkan Pelan Hijau Singapura 2030, iaitu sebuah peta jalan nasional untuk memastikan Singapura kekal sebagai sebuah bandar hijau dan rumah yang sesuai didiami sementara memanfaatkan kemampanan sebagai wadah pertumbuhan baru.
Encik Gan berkata perusahaan memainkan peranan penting dan semakin berusaha untuk menggabungkan kemampanan dalam strategi dan amalan perniagaan mereka.
"Malah, ramai yang berminat untuk mulakannya. ESG telah melihat syarikat, daripada sektor maritim hingga ke gaya hidup dan perkhidmatan, mencari sokongan untuk memulakan perjalanan kemampanan.
"Sememangnya, lebih banyak boleh dilakukan untuk membina dan memperkukuh ekosistem kemampanan Singapura. Khususnya, kita perlu membantu perusahaan membina pengetahuan dan keupayaan dalam kemampanan," kata beliau.
Menerusi program itu, ESG akan menyokong pertumbuhan perusahaan mampan dalam tiga tahap - membangunkan keupayaan perusahaan dalam kemampanan; memperkukuhkan keupayaan khusus sektor; dan memupuk sebuah ekosistem kemampanan yang bertenaga dan sesuai.
Bagi perniagaan yang baru saja memulakan perjalanan mereka, bengkel latihan bersubsidi mengenai topik seperti konsep kemampanan asas dan rangka kerja kemampanan korporat akan disediakan.
ESG akan bekerjasama dengan rakan, seperti PwC Singapore dan Majlis Persekitaran Singapura, untuk membangunkan bengkel tersebut yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan, kata Encik Gan.
Bagi syarikat yang mahu pergi lebih jauh, program itu akan menyokong projek dalam pembangunan strategi, pengoptimuman sumber dan penggunaan piawaian.
Program itu juga akan membantu syarikat membangunkan produk, khidmat dan huraian inovatif untuk merebut peluang dalam ekonomi hijau.
Di peringkat sektor pula, ESG akan bekerjasama dengan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC) untuk membangunkan pendekatan yang disesuaikan bagi setiap sektor memenuhi keperluan masing-masing.
Dalam pembangunan ekosistem pula, Encik Gan berkata ESG akan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk memperkukuh keupayaan kemampanan dan membangunkan lebih banyak khidmat kemampanan.
"Ini termasuk meningkatkan ketersediaan pembiayaan hijau menerusi Skim Pembiayaan Perusahaan-Hijau, atau EFS-Hijau," kata beliau, sambil menambah bahawa butiran lanjut mengenai skim itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata usaha menjadi mampan boleh memberikan syarikat kelebihan persaingan.
Beliau menambah bahawa kajian menunjukkan syarikat sedemikian meraih manfaat dalam "cara amat ketara" seperti reputasi dipertingkat, penjualan dan keuntungan lebih baik serta pendekatan kakitangan yang lebih baik.
Semalam, beliau mengunjungi bilik pameran perabot Commune - jenama in-house syarikat pembuat perabot Koda yang merupakan antara syarikat awal menggabungkan kemampanan dalam perniagaannya.
Cik Low turut berkata dorongan ke arah kemampanan juga akan mewujudkan peluang pekerjaan baru.
"Kami tahu bahawa rakyat Singapura, terutamanya anak muda Singapura, menantikan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran dalam bidang ini," kata beliau.
BERITA


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg