Pertelingkahan selama bertahun yang menegangkan hubungan bersama keluarga, membuatkan Andy (bukan nama sebenar) merasakan kali pertama dia benar-benar dapat berbual dengan ibu bapanya adalah ketika dia berada di penjara.
Banduan berusia 26 tahun itu diberi masa tiga jam untuk berbual bebas dengan keluarganya menerusi Project Rekindle (Projek Menyambung Semula Hubungan), program anjuran Perkhidmatan Penjagaan Masyarakat Lutheran (LCCS) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Dalam sesi itu juga, Andy dapat melihat bapanya menangis buat pertama kali – satu detik yang tersemat dalam ingatannya – ketika mereka berbincang tentang hubungan mereka dan cara untuk lebih memahami antara satu sama lain.
“Saya ingatkan mereka tidak begitu mengambil berat tentang saya dan tidak ambil kisah tentang apa yang saya lakukan,” kata Andy, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun setengah atas kesalahan berkaitan dadah.
Sesi yang dikenali sebagai family circle berasaskan konsep amalan pemulihan iaitu satu pendekatan dalam penyelesaian konflik yang melibatkan semua pihak, dengan tujuan membaiki dan mengukuhkan hubungan.
Sebelum sesi berkumpulan dimulakan, kededua pihak akan diberi panduan tentang topik yang boleh mereka bincangkan supaya mereka lebih selesa berkongsi pengalaman, kata Encik Nigel Lee, pengurus LCCS yang menyelia program tersebut.
Menurut Encik Lee, banduan yang kembali kepada masyarakat tanpa sokongan keluarga, lebih berisiko untuk bentan, atau terjerumus semula ke dalam kesalahan lama mereka.
Dengan memulihkan ikatan kekeluargaan sepanjang banduan menjalani hukuman penjara, ia diharapkan dapat mengurangkan risiko bentan, tambahnya.
Program ini dijalankan secara percubaan dari September 2022 hingga Mac 2023, dan disambung semula pada 2024.
Secara keseluruhan, 15 orang banduan dan keluarga mereka telah terlibat dalam dua siri program tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Jurucakap SPS berkata memandangkan Project Rekindle meraih maklum balas positif daripada banduan dan keluarga mereka, SPS bersama LCCS akan mengembangkan inisiatif itu secara berperingkat pada 2025 untuk tiga siri lagi.
SPS bekerjasama dengan sekitar 20 rakan kongsi untuk melaksanakan program kekeluargaan yang berstruktur di penjara.
Ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan banduan dalam mengekalkan hubungan serta membina ikatan lebih kukuh dengan keluarga mereka.
Pada 2023, lebih daripada 3,000 banduan dan keluarga mereka mendapat manfaat daripada program seperti Project Rekindle, kata jurucakap itu.
SPS juga telah mempertingkatkan penggunaan amalan pemulihan di penjara, seperti melalui program Empatherapy (Terapi Empati) sejak 2021, tambahnya.
Program yang dilancarkan di Institusi B1 – sebuah fasiliti keselamatan maksimum – bertujuan membina budaya kemasyarakatan yang lebih padu sesama banduan, serta antara banduan dengan kakitangan penjara.
Melalui program Empatherapy, banduan melibatkan diri dalam perbincangan berkumpulan mengenai topik yang telah dirancang oleh rakan penyokong Empatherapy dan kakitangan unit pembetulan setiap minggu, untuk mempertingkatkan kemahiran hubungan sesama manusia dan membina hubungan positif antara banduan, kata jurucakap itu.
Hasil daripada kejayaan yang diraih program ini, satu akademi yang melatih rakan penyokong banduan telah ditubuhkan pada 2022.
Sehingga kini, seramai 262 rakan penyokong telah diberi latihan di pelbagai institusi penjara.
Seorang lagi banduan yang mengesahkan bahawa Project Rekindle telah membaiki hubungannya dengan ibu bapa serta abangnya, ialah Aaron (bukan nama sebenar) yang menjalani hukuman penjara selama 25 tahun atas kesalahan berkaitan dadah.
Family circle memberi peluang kepada Aaron untuk mendakap ahli keluarganya dan berbual bersama mereka perkara yang tidak pernah mereka bincangkan selama ini.
Tambah Aaron, apabila ibu bapa dan abangnya datang melawat, itu adalah kenangan manis baginya.
Aaron berharap sesi sebegitu dapat memberi peluang untuk dia berbincang mengenai hal-hal yang lebih mendalam dengan ibu bapanya.
Bagi Andy pula, hubungannya dengan ibu bapanya juga telah bertambah baik sejak mereka menyertai program perintis ini pada 2022.
Disebabkan itu, ibu bapanya lebih kerap melawat serta mengirimkan surat elektronik kepadanya, yang boleh dibaca menggunakan tablet yang disediakan penjara.
Andy, yang bercita-cita untuk menjadi jurulatih peribadi, berkata dia kini lebih terbuka untuk berbincang dengan ibu bapanya mengenai rancangannya selepas keluar dari penjara dan mereka turut menyambut baik akan rancangannya.
Mereka juga telah berbincang mengenai rancangan percutian keluarga ke Taiwan selepas dia dibebaskan, pada Januari 2026 nanti.
Andy sangat menantikan percutian itu kerana ia adalah kali pertama dia bakal menaiki kapal terbang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg