SEBUAH program celik kewangan nasional baru yang bertujuan memperkukuh pengetahuan masyarakat dalam soal kewangan, terutama belia, keluarga berpendapatan rendah dan warga emas, dilancarkan semalam.
Sebuah kerjasama antara CGS-CIMB dan GRC Sembawang, program itu diselaraskan dengan inisiatif berterusan pemerintah untuk mempertingkat kecelikan kewangan di Singapura.
Kesemua Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang - Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Dr Lim Wee Kiak, Cik Mariam Jaafar, Cik Poh Li San dan Encik Vikram Nair - hadir di pelancaran program itu.
Program itu dimulakan dengan sesi jalinan rangkaian sarapan bersama pakar kewangan di The Grassroots' Club di Ang Mo Kio semalam, yang dianjurkan dengan sokongan Politeknik Republic dan SGX Group.
Disertai 500 belia daripada institut pengajian tinggi, peserta berpeluang berinteraksi bersama wakil daripada SGX Group, InvestingNote, SeaTown Holdings, Community Chest dan CGS-CIMB untuk bertanyakan soalan berkaitan perniagaan atau kerjaya dalam institusi kewangan.
Sementara itu, kumpulan pelaburan syariah CGS-CIMB dan GRC Sembawang juga akan mendekati masjid di kawasan undi itu dalam usaha mendidik masyarakat Islam mengenai pelaburan yang mematuhi syariah.
Kumpulan daripada CGS-CIMB dan GRC Sembawang akan mendekati lebih ramai penduduk, termasuk di sekolah dan kedai kopi, sepanjang beberapa minggu ini untuk berkongsi maklumat asas mengenai kecelikan kewangan, dan panduan tentang cara mengelak terjebak dalam penipuan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, CGS-CIMB, Cik Carol Fong, berkata pihaknya gembira memulakan usaha pendekatan mereka di GRC Sembawang.
"Dengan sokongan GRC ini, kami berharap dapat mempercepat kecelikan kewangan dalam masyarakat, terutamanya belia dan mereka yang mudah terjejas.
"Di CGS-CIMB, kami mahu melakukan lebih daripada yang terbaik. Menerusi pendidikan, kami boleh melengkapi rakyat Singapura dengan pengetahuan mengenai perancangan kewangan dan pelaburan dengan lebih baik, dan hasilnya, mengubah kehidupan," kata beliau.
Pengarah Sekolah Pengurusan dan Komunikasi Politeknik Republic, Encik Tui Jurn Mun, berkata sekolah itu gembira dapat bekerjasama dengan CGS-CIMB Securities untuk memberi akses saksama kepada belia dan orang awam untuk memperdalam pengetahuan kewangan mereka melalui penggunaan alat digital.
Menurut beliau, pensyarah politeknik itu dan kakitangan CGS-CIMB Securities sama-sama menyusun siri kandungan pembelajaran pendek yang boleh didapati dalam talian secara percuma.
"Kandungan kursus itu juga akan disediakan kepada belia dan penduduk GRC Sembawang secara bertahap, diikuti dengan masyarakat lebih luas di Singapura," katanya.
Ketua Runcit dan Perantara SGX Group, Encik Jeyson Ng, pula berkata melalui Akademi SGX, mereka akan bekerjasama dengan CGS-CIMB untuk memberi masyarakat akses kepada pelbagai sumber pendidikan kewangan.
"Objektif kami ialah melengkapi individu dengan pengetahuan yang diperlukan bagi memulakan perjalanan pelaburan mereka," kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg