Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program VIA diharap bangunkan individu yang bertanggungjawab

Sep 18, 2018 | 7:57 PM
BERGAMBAR BERSAMA: Dr Faishal Ibrahim mengambil peluang bergambar bersama sekumpulan pelajar dan guru Sekolah Rendah Chongzheng semasa lawatannya ke sekolah itu untuk mempelajari tentang projek Nilai Dalam Tindakan (VIA) yang dijalankan dan berinteraksi bersama pelajar.
BERGAMBAR BERSAMA: Dr Faishal Ibrahim mengambil peluang bergambar bersama sekumpulan pelajar dan guru Sekolah Rendah Chongzheng semasa lawatannya ke sekolah itu untuk mempelajari tentang projek Nilai Dalam Tindakan (VIA) yang dijalankan dan berinteraksi bersama pelajar. - Foto KEVIN LIM

DALAM kesibukan dan arus kehidupan yang bergerak pantas di Singapura hari ini, Syabil Oh Mohamed Yusri merasakan masyarakat negara ini sudah hilang unsur 'kemesraannya'.

Jikalau dulu jiran tetangga boleh membiarkan pintu rumah mereka sentiasa terbuka kerana mereka saling mempercayai satu sama lain dan mengongsi hubungan yang erat, lain pula halnya hari ini.

"Hari ini, saya rasa seperti semuanya tertutup. Tidak begitu ramai orang yang rapat dan sering bual dengan jiran mereka. Kami rasa semangat kampung sudah berkurangan di Singapura kini," kata beliau.

Dari situlah, pelajar Sekolah Rendah Chongzheng berusia 12 tahun itu dan rakan-rakannya membentukkan sebuah kumpulan bernama Our Kampong Kindness (OKK) dan memulakan kempen 'Grampathy' bagi menyebarkan mesej tentang kebaikan, sifat berterima kasih dan empati kepada orang ramai.

Sebagai sebahagian kempen itu, kumpulan itu juga menerbitkan dua buku bertajuk Shoe Koala and His Shoes dan Shoe Koala untuk mengongsi nilai-nilai positif itu bersama rakan sekolah dan orang awam.

Usaha itu adalah antara projek Nilai Dalam Tindakan (VIA) Sekolah Rendah Chongzheng di Tampines.

VIA menggantikan Program Penglibatan Masyarakat (CIP) pada 2012, dengan lebih banyak tumpuan diberikan bagi pelajar meraih nilai positif menerusi pengalaman bermakna untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Ia adalah sebahagian daripada kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya, hampir semua pelajar yang tamat pendidikan di sekolah menengah tahun lalu telah melaksanakan sekurang-kurangnya dua projek VIA yang memberi kesan ke atas sekolah atau masyarakat.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mengunjungi Sekolah Rendah Chongzheng petang tadi (18 September) untuk berinteraksi dengan pelajar dan mempelajari tentang projek VIA yang dijalankan mereka.

Menurutnya, VIA memberi ruang kepada pelajar menggunakan aspek kreatif dan inovatif dalam membangunkan projek dan peluang bagi mereka bekerjasama dengan masyarakat selain rakan dan guru sendiri.

"Semua ini memberikan mereka pengalaman dan pembelajaran yang menyeluruh dalam kehidupan mereka.

"Saya yakin dengan adanya VIA dan lebih banyak projek yang dilakarkan, ramai di kalangan pelajar kita boleh membangun sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kehidupan, kemaslahatan masyarakat mereka di Singapura," kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg