Program Fitrah, yang menawarkan khidmat penjagaan berterusan bagi pesalah dan keluarga mereka, sedang berusaha mengurangkan kadar kebentanan di kalangan pesalah Melayu/Islam, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Sedang kadar kebentanan dalam tempoh dua tahun telah turun daripada 48.4 peratus pada 2001 kepada 24.7 peratus pada 2020, beliau berkata lebih banyak boleh dilakukan bagi kadar kebentanan dalam tempoh lima tahun yang kini sekitar 40 peratus.
Ini bermakna sekitar empat dalam setiap 10 banduan yang dibebaskan dipenjarakan kembali dalam tempoh lima tahun selepas dibebaskan.
“Kadar kebentanan telah turun bagi dua tahun. Apa yang kita sedang lakarkan adalah bagaimana kita boleh menurunkan kadar kebentanan bagi lima tahun yang kadarnya masih 40 peratus ke atas,” kata Dr Faishal ketika memberi perkembangan terkini tentang bidang tumpuan kedua (FA2) M Kuasa Tiga (M³) yang diketuainya mengenai sokongan bagi individu berisiko dan keluarga mereka.
Bidang tumpuan itu meneliti penyediaan sokongan menyeluruh kepada banduan, bekas banduan dan keluarga mereka semasa mereka ditahan dan selepas dibebaskan.
Program Fitrah, yang dikendalikan bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menjalankan program keagamaan berstruktur dan menyampaikan khutbah Jumaat yang berteraskan konteks keperluan pemulihan banduan Melayu/Islam.
Ia juga menyokong pesalah dan keluarga mereka dengan menyediakan khidmat rujukan dan pendampingan masyarakat.
Program Fitrah turut menyediakan khidmat pengurusan kes kepada banduan yang ditempatkan dalam program berasaskan masyarakat.
Ia telah membantu lebih 100 kes sejak khidmat tersebut diperkenalkan.
Dr Faishal berkata program Fitrah, yang dilancarkan pada 2018, kini mempunyai lebih 695 sukarelawan dan telah membantu lebih 300 keluarga.
Satu lagi program di bawah FA2 ialah Rangkaian Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) Bagi Pemulihan yang merangkumi kempen seperti Dadah Itu Haram untuk mengekang penularan dadah di peringkat lebih awal.
Sejak ditubuhkan pada 2021, rangkaian itu telah menganjurkan pelbagai acara untuk mewujudkan peluang kerjasama antara 26 MMO dan 11 M³@Bandar. Rangkaian itu akan menganjurkan persidangan pertamanya pada Januari 2024 yang antara lain bertujuan menyediakan peluang pembelajaran kepada peserta untuk lebih memahami keperluan banduan dan bekas pesalah Melayu/Islam serta keluarga mereka, dan pada masa sama memperoleh pengetahuan tentang sumber yang ada untuk menyokong aspirasi MMO untuk melakukan lebih banyak lagi untuk masyarakat yang berisiko itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg