SEBUAH program baru yang menawarkan latihan dan aturan kerja fleksibel dilancarkan pada Sabtu bagi menarik wanita kembali menyumbang kepada tenaga kerja.

Program C U Back at work (CUB) itu usaha kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Wanita dan Keluarga U (U WAF) dan syarikat perkhidmatan alam sekitar Chye Thiam Maintenance Pte Ltd (CTM).

Ia dijangka menarik 500 wanita bekerja semula.

Berucap di pelancaran di sebuah pameran kerjaya di Punggol itu, Anggota Parlimen (GRC Pasir Ris-Punggol), Cik Yeo Wan Ling, yang juga Pengarah NTUC U WAF, berkata:

"Kami mengalu-alukan lebih banyak peluang bagi wanita bekerja semula, terutamanya melalui pengaturan kerja fleksibel.

"Ini dapat membantu kaum wanita mengimbangi tanggungjawab mereka di kerja dan di rumah, dan saya harap akan juga membuka peluang bagi ramai lagi wanita bekerja semula."

Program itu juga menyasar meningkatkan sektor perkhidmatan pembersihan dan alam sekitar, dengan wanita kembali menjadi sebahagian daripada tenaga kerja pembersihan baru.

Ini kali pertama latihan dan aturan kerja fleksibel diperkenal kepada sektor perkhidmatan pembersihan dan sekitaran, yang membolehkan peserta memilih waktu kerja dalam blok tiga hingga empat jam, dan pada bila-bila sepanjang hari.

Peserta akan menjalani percubaan kerjaya terdiri daripada tujuh modul latihan dan latihan di tempat kerja. Peserta layak akan menerima elaun latihan semasa tempoh percubaan kerjaya itu.

Mereka juga akan menerima bonus pengekalan dan insentif $100 bagi setiap modul yang diselesaikan dan insentif kemahiran $30 yang ditambah kepada gaji mereka bagi setiap modul latihan teknikal yang mereka lengkapkan.

Setelah selesai program itu, peserta akan diberi pekerjaan dan boleh menjangka gaji permulaan sekurang-kurangya $3000, termasuk insentif kemahiran.

Program CUB dihasilkan agar bersifat fleksibel, dengan peserta boleh memilih masa fleksibel untuk menjalani latihan dan memilih jadual kerja mereka.

Peserta juga akan diletakkan pada pelan hala tuju kerjaya selepas menamatkan latihan, di mana mereka boleh maju ke arah peranan khusus dan penyeliaan.

Setiausaha agung Kesatuan Pekerja Pembinaan Bangunan dan Industri Kayu (Batu), Cik Noor Irdawaty, berkata:

"Sektor perkhidmatan pembersihan & sekitaran penting bagi memastikan masyarakat kita selamat dan sihat, namun telah lama ia dipandang rendah dengan persepsi bahawa pembersihan adalah pekerjaan rendah dengan peluang kemajuan kerjaya terhad."

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti