Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program mentor Kelab Mendaki Muda dilancar

Mar 20, 2021 | 5:30 AM
PELANCARAN DALAM TALIAN: Para peserta Program Masyarakat Peer disertai Cik Rahayu Mahzam dan Cik Mariam Jaafar semasa pelancaran program tersebut secara dalam talian pada Februari lalu. - Foto MENDAKI
PELANCARAN DALAM TALIAN: Para peserta Program Masyarakat Peer disertai Cik Rahayu Mahzam dan Cik Mariam Jaafar semasa pelancaran program tersebut secara dalam talian pada Februari lalu. - Foto MENDAKI -

PROGRAM pementoran belia baru telah dilancarkan pada 20 Februari lalu oleh Kelab Mendaki Muda (YMC).

Program tersebut yang dikenali sebagai Program Masyarakat Peer merupakan inisiatif baru di bawah M Kuasa Tiga (M³) yang bertujuan memberi manfaat kepada pelajar Melayu/Islam di sekolah menengah dengan memasangkan mereka dengan mentor yang merupakan pekerja atau mahasiswa Melayu/Islam.

Program tersebut yang dijalankan selama enam bulan akan diadakan di M³@Tampines dan M³@Woodlands.

Pada 6 Mac lalu, Setiausaha Parlimen (Kesihatan) Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen, Cik Mariam Jaafar menyertai satu sesi dalam talian yang melibatkan kumpulan pertama program Peer itu.

"Saya harap anda membina hubungan yang bermakna dan memanfaatkan sumber sokongan yang ada untuk menjalani liku-liku mencabar dalam kehidupan anda," kata Cik Rahayu kepada peserta Peer @ M³ Tampines yang hadir melalui Zoom.

Beliau, yang mengetuai Kumpulan Fokus 3 M³ iaitu berkaitan pementoran belia berkata, antara tujuan usaha pementoran dalam masyarakat adalah untuk membina sistem sokongan, kasih sayang dan persahabatan.

Lebih 270 belia terlibat dalam program Peer itu.

Seramai 120 pelajar berusia antara 13 dengan 17 tahun daripada pelbagai strim akademik serta madrasah telah mengambil bahagian dalam program tersebut dan mereka dibimbing oleh 89 mentor.

Menurut YMC, Peer mengamalkan model Pembangunan Belia Positif dan diadakan secara hibrid tahun ini untuk memastikan langkah pengurusan selamat terjaga demi kesejahteraan semua yang terlibat.

Antara aktiviti yang akan dilakukan termasuk aktiviti bersukan dan seni.

Aktiviti yang dirancang bagi program tersebut adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada perbincangan kumpulan fokus yang diadakan bersama para pelajar dan ibu bapa, serta perjalanan pembelajaran ke Los Angeles, Amerika Syarikat, sebelum ini.

Ketua YMC yang juga pengerusi Program Masyarakat Peer, Encik Umar Masagos berharap menerusi usaha yang dijalankan, para belia dapat melihat potensi sebenar mereka. Katanya:

"Kami mahu memberi inspirasi dan memperkasa remaja-remaja ini agar mereka percaya akan potensi mereka.

"Kami harap ruang selamat dan saling menyokong yang ingin dipupuk Peer dapat membantu mereka menavigasi perjalanan penemuan diri mereka sendiri dan mencapai matlamat mereka."

Program tersebut sepatutnya dilancarkan pada Februari tahun lalu di M³@Tampines, namun, akibat pemutus rantaian jangkitan, ia terpaksa ditunda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg