Program Gift-A-Family (GAF), yang membantu keluarga berpendapatan rendah mengembangkan bakat dan mencapai aspirasi melalui tajaan, akan diperluas ke seluruh Singapura.

Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, berkata pada 11 November bahawa skim itu bertujuan membantu keluarga mencapai keupayaan berdikari dan meningkatkan taraf sosioekonomi.

GAF, yang melengkapi rangka kerja sokongan pemerintah ComLink+, bermula sebagai projek perintis di Boon Lay pada 2022 sebelum diperluas ke Clementi, Jurong East, Bukit Merah, Queenstown dan Tampines.

Tujuh lagi kawasan akan menyertainya dalam beberapa bulan akan datang, termasuk Marsiling, Punggol North dan Toa Payoh Central.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata pada 12 November bahawa program itu disasarkan untuk diperluas menjelang 2028 bagi membantu keluarga ComLink+ yang layak serta keluarga yang memerlukan sokongan di seluruh Singapura.

MSF akan bekerjasama dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Persatuan Rakyat (PA) bagi peluasan tersebut.

Community Chest akan menyediakan dana permulaan sebanyak $100,000 bagi setiap kawasan setiap tahun dari 2026 hingga 2028, berjumlah $4.2 juta.

GAF mengenal pasti minat anak-anak dan ibu bapa dalam bidang seperti sukan, muzik, latihan kemahiran pekerjaan, termasuk mendapatkan lesen memandu, pembelajaran tambahan dan terapi.

Setakat ini, lebih 180 keluarga dan individu berpendapatan rendah menerima bantuan.

Pejabat perkhidmatan sosial (SSOs) akan mengenal pasti penerima yang sesuai, manakala pembimbing keluarga ComLink+ membantu mereka menetapkan matlamat dan meneroka peluang berdasarkan keperluan masing-masing.

Encik Lee berkata GAF melebihi bantuan asas dengan menghubungkan keluarga kepada penderma dan pembimbing individu.

Beliau memberi contoh seorang murid yang menghadapi masalah persekolahan tetapi mendapat tajaan kelas dram selepas minatnya dikenal pasti.

Seorang ibu atau bapa pula memperoleh pekerjaan pembinaan selepas menerima tajaan latihan pengendalian kren.

Encik Lee berharap setiap keluarga ComLink+, termasuk anak-anak dan sebahagian ibu bapa, dapat dipadankan dengan rakyat Singapura lain menerusi program itu, memandangkan ramai yang telah berjaya dalam kehidupan ingin menyumbang kepada masyarakat.

Menurutnya, pendekatan program yang disesuaikan ke tahap individu itu memerlukan banyak tenaga kerja tetapi membantu keluarga merasakan sokongan masyarakat.

Encik Lee berkata, walaupun GAF bermula di Boon Lay, kawasan yang diwakilinya sebagai Anggota Parlimen (AP), matlamat sejak awal adalah untuk menilai sama ada program itu boleh dilaksanakan di kawasan lain.

Beliau mengakui kemajuan keluarga tidak semestinya berterusan, terutama apabila menghadapi masalah seperti salah seorang ahli keluarga dipenjarakan. Namun, GAF dan sokongan ComLink+ akan terus membantu mereka.

Program itu sejajar dengan seruan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong untuk membina masyarakat ‘We First’ yang saling membantu meningkatkan taraf kehidupan masing-masing, tambah Encik Lee.

Pengerusi Majlis GAF Boon Lay, Encik Wendell Wong, berkata program itu mendorong keluarga berani memasang impian megatasi keadaan hidup mereka.

Orang ramai boleh menyumbang melalui Community Chest atau menghubungi SSOs untuk maklumat lanjut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti