Lebih 1,000 pembimbing, menti atau individu yang diberi tunjuk ajar, dan sukarelawan yang menganjurkan kegiatan telah melibatkan diri di bawah Program Masyarakat Peer anjuran Kelab Mendaki (MClub) sejak program itu dirasmikan pada Februari 2021.

Program itu bertujuan menyemai nilai positif dalam belia yang dipanggil menti, seperti keyakinan, kecekapan, masyarakat, perwatakan dan perhubungan melalui pelbagai rangkaian kegiatan.

Dalam satu kenyataan pada 15 Oktober, MClub menyatakan sebahagian besar daripada peserta program itu telah menggalas jawatan kepimpinan, dengan sebilangan pembimbing turut menggalas peranan selaku penganjur sukarelawan.

Sebilangan bekas peserta juga telah menjadi ketua masyarakat, tambah kenyataan itu.

Lantaran itu, untuk memperdalam kesannya kepada lebih ramai belia Melayu/Islam, MClub berkata ia merancang untuk memperluas Program Masyarakat Peer ke lebih banyak bandar dalam tahun-tahun mendatang – program itu buat masa ini berjalan di dua bandar iaitu Woodlands dan Tampines.

Kenyataan itu dibuat menyusuli acara penghargaan bagi peserta dan pembimbing Peer anjuran MClub yang diadakan buat kali pertama di ruang SQ Collective x Gen AI Labs, terletak di Mohamed Sultan Road, pada 10 Oktober.

Acara itu dihadiri sekitar 50 individu, meliputi pembimbing, menti dan penganjur kegiatan yang terlibat sepanjang enam edisi program Peer.

Pengerusi Peer, Encik Syakir Kamal, berkata program itu akan terus menjadi penghubung bagi mengisi keperluan masyarakat dengan minat dan semangat belia.

Beliau berkata: “Melalui Peer, kami ingin memperkasa dan mengasah (bakat) pemimpin belia masa hadapan yang akan menerajui kepimpinan dengan sifat ihsan, penuh matlamat dan kekal terhubung dengan masyarakat.”

Pengerusi rangkaian M Kuasa Tiga Plus (M³+) bagi kawasan Woodlands, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, berkata usaha mempersiapkan belia bagi masa hadapan dapat menyuntik daya keyakinan bersifat jangka panjang terhadap golongan itu.

Ini memandangkan sepanjang enam tahun kebelakangan ini, program ini menyaksikan perkembangan belia daripada seorang menti sehinggalah ada yang kini menjadi pemimpin masyarakat, ujarnya.

Beliau berkata: “Peer merupakan contoh yang hebat tentang bagaimana pelaburan terhadap golongan muda mewujudkan kitaran keyakinan, kepimpinan, dan khidmat bakti yang berkekalan.”

Antaranya ialah Naib Pengerusi Cabang Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Belia Persatuan Rakyat (PA Mesra Belia), Cik Rasyidah Hakim, yang sebelum seorang penganjur kegiatan.

Cik Rasyidah berkata Peer memberikan beliau ruang untuk membina hubungan bermakna dan mengasuh daya kepimpinannya, yang diterapkan sehingga hari ini.

Beliau berkata: “Peer adalah program yang lebih daripada sekadar platform untuk memimpin.

“Ia memberi saya ruang membina hubungan yang bermakna, keluar daripada zon keselesaan, dan mendapatkan pelbagai peluang untuk berkembang sebagai pemimpin.”

Program Masyarakat Peer merupakan inisiatif di bawah M³+, bertujuan memberi manfaat kepada pelajar Melayu/Islam di sekolah menengah dengan memadankan mereka bersama pembimbing yang merupakan pekerja atau mahasiswa Melayu/Islam.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti