TERTEKAN dek pelbagai masalah yang dihadapinya di sekolah pada usia 14 tahun, Andy (bukan nama sebenar) dipengaruhi kawan-kawannya mencuba dadah baru yang dikatakan dapat menghilangkan tekanan.
Terkenal di sekolahnya sebagai pembuat kacau, Andy sering dipanggil dan disoal setiap kali ada sesuatu tidak kena; kerap juga dia digantung sekolah kerana melanggar peraturan.
Disiplin ketat dan pengalaman tidak menyenangkan itu membuat Andy tertekan hingga dia mengambil keputusan berhenti sekolah.
"Kawan saya beritahu saya ada dadah baru yang buat kita tak stres, kita tak akan fikirkan apa-apa. Jadi saya pun ingin tahu dan nak cubanya untuk lihat sendiri (sama ada) betul atau tidak," kongsi belia berusia 17 tahun itu ketika ditemui di Rumah Tumpangan Remaja Lelaki Singapura (SBH).
Dia diperintah Mahkamah Belia supaya dimasukkan ke SBH pada Ogos tahun lalu kerana melanggar peraturan probesen dengan memiliki dan mengambil dadah, di samping bergaduh dan mencuri.
Mujur, terdetik dalam hatinya untuk membuka lembaran baru.
"Sebenarnya, ia renungan semalaman. Saya fikir tentang kehidupan saya dan ini bukan perkara yang saya inginkan, jadi saya buat keputusan hendak berubah," kata Andy.
Dia akur cabaran terbesar yang dihadapinya ialah kawan-kawan yang banyak mempengaruhi dirinya.
"Kebanyakan keputusan yang saya ambil, saya akan fikirkan kawan. Bila mereka suruh saya buat sesuatu, saya tak nak rasa ketinggalan... dan pada waktu itu pun saya tak rapat sangat dengan keluarga saya," katanya.
Anak muda itu berkata dia sudah "buang kawan lama"nya dan cuba cari teman-teman lebih baik, misalnya "mereka yang pergi ke sekolah dan balik ke rumah tepat pada waktu".
Meskipun agak gementar pada hari pertama dimasukkan ke SBH kerana pernah mendengar kisah-kisah penghuninya bergaduh, Andy berasa lega ramai orang di sekitarnya sebenarnya baik dan peramah.
Bahkan, menurutnya, dia banyak belajar tentang disiplin, ketabahan dan memikirkan tentang masa depan melalui program dan aktiviti yang dijalankan.
Ditanya apakah dia menyesal akan tindakannya yang lalu, Andy berkata:
"Sejujurnya, ya. Saya rasa seolah-olah saya dah bazirkan kehidupan saya, walaupun umur saya baru seberapa. Saya rasa macam saya dah bazirkan zaman sekolah menengah saya."
Bertekad menjadi seorang yang lebih baik, dia sekarang mengikuti kursus barista sementara menanti memulakan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE)
Andy, yang lulus dengan gred 'A' bagi mata pelajaran Sains dalam peperiksaan GCE peringkat 'N' yang diambilnya ketika di SBH, mahu mendapatkan diploma kejuruteraan kimia setelah tamat pendidikan di ITE.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg