
PEKERJA pertengahan kerjaya yang ingin mengubah haluan kerjaya mereka untuk memasang perabot dalaman (interior) boleh memanfaatkan program penukaran kerjaya baru. Program Penukaran Profesional (PCP) bagi pakar pemasangan dalaman akan mengambil kohort pertama menjelang Julai dan menyasarkan untuk menempatkan 70 peserta program itu dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini akan membina saluran pakar tempatan untuk menyediakan khidmat pemasangan dalaman yang merangkumi penyesuaian dan pemasangan perabot di tapak komersial dan projek di kediaman. Program latihan itu diperkenalkan oleh Workforce Singapore (WSG) dan Institut Majlis Industri Perabot Singapura (SFIC), penyedia latihan, dalam satu acara maya pada Rabu (2 Jun). Ia diharap dapat memenuhi permintaan bagi segmen perniagaan dalaman Singapura yang semakin meningkat, bernilai sekitar $3 bilion setahun. Menteri Negara Kanan (Kementerian Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann berkata industri perabot terjejas dengan pandemik Covid-19 dan sektor pemasangan menghadapi masalah pekerja. "Melalui latihan dan meningkatkan bakat tempatan kita dengan set kemahiran pemasangan dalaman ini, perusahaan dapat membentuk golongan pakar yang boleh menyokong aspirasi mereka untuk tumbuh," katanya. Beliau menambah langkah itu akan menjadikan pekerjaan itu lebih menarik bagi generasi muda. Antara tugas pemasangan dalaman termasuk pengurusan projek, penyeliaan di tapak projek, memberikan nasihat mengenai reka bentuk dan pemilihan bahan, dan menilai reka bentuk serta merealisasikannya. Tugasnya lebih daripada seorang pemasang yang membantu mengendalikan projek dengan memastikan lokasi itu bersedia sebelum pemasangan perabot seperti kabinet dan almari. Presiden SFIC Phua Boon Huat berkata generasi baru pemasang ini memerlukan kemahiran yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. "Dengan landskap yang semakin berkembang ini, peranan tertentu dalam industri kita berubah dengan pantas," jelasnya. Beliau memetik contoh bagaimana para pereka kini dapat mempertingkat kemahiran mereka untuk melakukan kerja hibrid sebagai pemasang dan juga pereka. Menurut Encik Phua, PCP akan membantu bina teras Singapura yang kukuh untuk memastikan projek perniagaan dan renovasi diteruskan, terutama sekali dengan pandemik yang berlangsung kini. Sepanjang program sembilan bulan itu, peserta berpeluang belajar mengenai teknologi pembinaan, proses penghasilan, lukisan teknikal, pemasangan perabot dan kaedah pembinaan yang lebih maju dalam pembuatan perabot. Mereka juga akan dilengkapkan dengan kemahiran dari segi perundingan, pengurusan risiko projek, kerjasama dan juga menguruskan pelanggan. Ini akan dilakukan melalui pembelajaran dalam kelas dan bengkel serta latihan di tempat kerja. Semasa majlis pelancaran itu, 10 syarikat tempatan telah menandatangani memorandum persefahaman dengan SFIC untuk mengambil pekerja baru di bawah program itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg