MULAI November ini, satu program rintis akan dimulakan bagi membenarkan majlis perkahwinan diadakan di kawasan umum Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) seperti kolong blok atau dewan serbaguna.

Premis ini tidak mempunyai sempadan fizikal dan oleh itu langkah-langkah pencegahan jarak selamat mungkin agak mencabar, kata Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong.

"Oleh itu, kami akan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Sekiranya program rintis ini berjaya, kami akan memperluaskan skim itu," jelas beliau, di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) kelmarin.

Namun begitu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH), majlis perkahwinan yang diadakan di kawasan umum HDB harus dikendalikan oleh penganjur majlis perkahwinan yang berdaftar.

Butiran lanjut, termasuk tarikh permulaan inisiatif itu akan dikongsi kelak, tambah MOH.

"Sementara itu, pasangan mempelai tidak perlu menunggu hingga November, kerana mereka boleh mengadakan majlis mereka di ruang dan dewan serbaguna di pusat atau kelab masyarakat, yang telah disediakan untuk majlis perkahwinan dengan harga yang berpatutan," kata Encik Gan lagi.

Meskipun majlis perkahwinan ini merupakan acara yang berisiko tinggi kerana mempunyai ramai tetamu yang berkumpul dan berinteraksi, Encik Gan berkata beliau percaya risiko tersebut dapat dikurangkan sekiranya semua orang memainkan peranan mereka.

"Dengan mematuhi langkah-langkah pengurusan dan jarak selamat, dengan kerjasama semua tetamu, kita dapat mengurangkan risiko dan pada masa yang sama ia satu majlis yang menggembirakan bagi pasangan mempelai, keluarga serta rakan-rakan mereka, kerana mereka dapat berkumpul untuk berkongsi peristiwa penting dalam kehidupan pasangan berkenaan," ujarnya lagi.

Ketika sidang media MTF itu, pihak berkuasa juga telah mengumumkan bahawa sehingga 100 orang dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan, mulai 3 Oktober nanti, berbanding had 50 orang yang sedia ada.

Jumlah tersebut termasuk pasangan mempelai, namun tidak termasuk vendor dan penyedia khidmat majlis.

Bilangan tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan boleh dibahagikan kepada beberapa zon, dengan setiap zon hanya boleh mengisi seramai 50 orang, atau dibahagi kepada giliran waktu berasingan dengan hingga 50 orang setiap slot.

Sekurang-kurangnya masa 30 minit antara setiap slot waktu perlu dipertimbangkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di tempat acara, tambah MOH.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti