Program rintis Mendaki, MOE perkukuh sokongan lepas sekolah pelajar Melayu di Tampines
Program rintis Mendaki, MOE perkukuh sokongan lepas sekolah pelajar Melayu di Tampines
Yayasan Mendaki dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah memulakan projek rintis di sebilangan sekolah terpilih di Tampines pada awal 2026 untuk memperkukuh penjagaan dan sokongan selepas sekolah bagi kanak-kanak daripada keluarga Melayu/Islam yang memerlukan bantuan tambahan.
Ini termasuk memastikan kanak-kanak itu dapat pemakanan lebih baik, meja belajar di rumah, atau pengaturan penjagaan alternatif, serta mentor yang boleh menangani isu motivasi.
Di bawah projek rintis itu, Penasihat Penjagaan Mendaki akan bekerjasama dengan keluarga setiap kanak-kanak yang dikenal pasti, sekolah dan profesional perkhidmatan sosial lain untuk memahami keperluan unik mereka dan membangunkan pelan penjagaan individu bagi anak tersebut.
Demikian dinyatakan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) ehwal Melayu/Islam pada 5 Mac.
“Kerjasama antara sekolah dan masyarakat akan menyediakan sokongan akademik dan bukan akademik bagi melengkapi usaha sekolah sedia ada.
“Bersama, kita memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan di belakang disebabkan keadaan (kehidupannya),” kata Dr Faishal.

