Yayasan Mendaki sedang merintis program pementoran baharu untuk sekitar 200 pelajar Melayu yang menunjukkan kelakonan tinggi dari Menengah 1 dan 2, maktab rendah serta politeknik.

Golongan pelajar ini, yang berada dalam kelompok 10 hingga 20 peratus terbaik kohort Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’, akan dihubungkan dengan mentor daripada Rangkaian Profesional Mendaki serta penerima Anugerah Mendaki terdahulu bagi meneroka laluan pendidikan, aspirasi kerjaya dan pembangunan diri.

Mengumumkan inisiatif itu pada 5 September, Pengerusi Mendaki yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata langkah tersebut diambil kerana terdapat pelajar yang sudah menunjukkan prestasi baik, dan masih boleh meraih manfaat daripada bimbingan serta peluang tambahan untuk melangkah lebih jauh.

Bercakap semasa di sesi ‘Kelas Pakar dan Dialog Menyokong Perjalanan Anak Saya’, di Dewan Kolej Yale-Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau berkata:

“Ramai anak-anak kita hari ini yang mempunyai prestasi yang baik di sekolah, seperti mereka di maktab rendah, politeknik dan sekolah menengah, misalnya dalam Menengah 1 dan 2, yang telah meraih Anugerah Mendaki.

“Justeru mereka dikatakan dalam kalangan kelompok 10 hingga 20 peratus pelajar terbaik dalam kohort dan mereka hari ini mungkin mempunyai potensi, tapi kita juga mahu melengkapi mereka dengan dorongan dan peluang yang boleh membawa mereka mencapai lebih tinggi.”

Menurut beliau lagi, usaha itu turut memanfaatkan lebih 1,300 karyawan Mendaki, termasuk mereka yang mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membantu pelajar berprestasi tinggi meneroka industri dan kerjaya baharu.

“Ada dalam kalangan mereka yang membantu golongan memerlukan, tapi saya rasa ada juga yang ingin membantu pelajar berprestasi yang tinggi untuk melangkah lebih jauh, meneroka industri baru dan meneroka kerjaya masa depan,” kata Encik Zaqy.

Antara mentor yang terlibat ialah Encik Muhammad Syafiq Mohammed Faruq, 30 tahun, daripada Rangkaian Profesional Mendaki bagi bidang penjagaan kesihatan.

Beliau, yang mempunyai 13 tahun pengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan, berkata pelajar yang dibimbingnya mahu mendengar pengalaman sebenar daripada mentor, termasuk perkara yang patut dilakukan atau dielakkan dalam perjalanan mereka.

“Mereka memang berkongsi bahawa mereka mahu mendengar pengalaman hidup, laluan yang sebenar menuju kejayaan dan juga pengalaman bekerja,” katanya.

Menurut Encik Syafiq, pementoran bukan hanya mengenai pencapaian akademik, tetapi juga membantu pelajar membina sikap dan nilai diri.

“Sama ada pelajar yang cemerlang ataupun pelajar daripada aliran biasa, objektifnya adalah untuk menjadi lebih baik dan berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri, sama ada dari segi akademik, pekerjaan pada masa hadapan ataupun nilai peribadi,” katanya.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Mendaki untuk menyokong pelajar pada tahap dan dengan keperluan yang berbeza.

Setiap tahun, lebih 10,000 pelajar mengikuti program tuisyen melalui Program Pencapaian Mendaki (MAP).

Antara 200 pelajar yang menyertai program tersebut ialah Aniq Haziq Muhammad Firdaus, 14 tahun, pelajar Menengah 2 di Institusi Raffles (RI) yang menerima Anugerah Mendaki bagi keputusan PSLE-nya pada 2025.

Menurut Aniq, mentornya, Encik Muhamad Azfar Ramli daripada Rangkaian Profesional Mendaki bagi bidang teknologi membantu beliau menetapkan matlamat, termasuk dalam usaha menghasilkan sebuah buku yang sedang ditulisnya.

“Dalam proses menulis buku ini, saya harus menetapkan matlamat, contohnya, menghabiskan satu bab dalam masa yang diberikan,” kata anak sulung dua beradik itu.

Mentornya turut menasihatinya supaya tidak mudah berputus asa apabila menghadapi masalah dan terus berusaha mencari penyelesaian.

Bagi bapa Aniq, Encik Muhammad Firdaus Mohamed Idros, 40 tahun, pendedahan kepada mentor daripada pelbagai sektor boleh membantu anak-anak melihat lebih banyak kemungkinan untuk masa depan mereka.

Katanya, golongan muda mungkin belum mengetahui bidang yang ingin diceburi ketika berusia 14 tahun dan boleh mendapat manfaat daripada bertemu individu dengan latar kerjaya berbeza.

“Apabila anda berusia 14 tahun, anda tidak tahu kerjaya apa yang akan anda ceburi pada usia 24 tahun nanti.

“Program ini juga memberi peluang kepada masyarakat Melayu untuk membina rangkaian dan saling membantu, selain memperluas pendedahan anak-anak kepada pelbagai bidang kehidupan dan kerjaya,” kata ketua pasukan pasaran pertukaran asing dan wang di Bank UOB.

Sementara itu, sekitar 350 ibu bapa dan pelajar telah menghadiri sesi tersebut.

Ibu bapa yang hadir menyertai kelas pakar dan sesi dialog yang dikendalikan Cik Diah Mastura Roslan bersama anak sulungnya, Cik Sharleez Nadya Mohamad Hidayat, mahasiswa jurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) tahun kedua.

Para pelajar pula menyertai Mentoring Circle bersama mentor dan rakan sebaya bagi membincangkan laluan pendidikan, aspirasi kerjaya dan pembangunan diri.

Encik Zaqy berkata MENDAKI berharap usaha itu dapat membantu pelajar berprestasi tinggi terus maju, di samping meneroka peluang baharu.

“Inilah cara Mendaki sedang membantu memberikan sokongan, supaya kita menolong seluruh lapisan anak muda kita untuk mencapai aspirasi mereka,” katanya.