USAHA Program Saham Kesihatan akan dipertingkat demi mengurangkan gejala penyakit kronik dengan pendekatan lebih sesuai bagi masyarakat Melayu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, akan menerajui peningkatan usaha tersebut.

Menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai rakan atau peserta program itu, Encik Masagos dalam ucapannya semasa acara perjumpaan Hari Raya pada Jumaat (13 Mei) berkata, walaupun trend kesihatan membimbangkan, beliau yakin masyarakat Melayu dapat mengatasinya.

"Ini kerana kita masyarakat yang berdisiplin. Disiplin termasuk perlunya kita menghadkan dan menjaga pemakanan - sama seperti sewaktu berpuasa.

"Apabila dilengkapi pula dengan disiplin berolah raga, serta daya tahan dan iltizam untuk menghentikan tabiat merokok, kita pasti akan mematahkan trend tersebut," ujarnya.

Menurut Encik Masagos, Cik Rahayu sudah pun memulakan usaha peningkatan Program Saham Kesihatan dengan menubuhkan satu kumpulan kerja bersama pemimpin-pemimpin masyarakat bagi meneliti aspek pemakanan, kegiatan jasmani, pemeriksaan kesihatan, tabiat merokok dan kesihatan mental.

Beliau juga akan menumpukan fokus kepada sebuah program perintis di M3@Bandar bermula dengan menyasarkan keluarga-keluarga muda di M³@Jurong dan program serupa di M³@Tampines.

Program tersebut mahu diluaskan kepada setiap M³@Bandar, tambah beliau.