Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain bola sepak wanita SG tubuh program sukan bagi pelajar autistik

Tawar latihan bola sepak, bola keranjang, memanah, seni, kraf, muzik, drama bawah Singa Champs
Feb 11, 2021 | 5:30 AM
MAHU ASAH POTENSI PELAJAR AUTISME: Cik Ernie (kanan) mengajar seorang pelajar Singa Champs, Muhamad Ruzaiman Muhamad Rosli, sembilan tahun, cara untuk menimbang bola. - Foto BH oleh DESMOND WEE dan FACEBOOK ERNIE SONTARIL
MAHU ASAH POTENSI PELAJAR AUTISME: Cik Ernie (kanan) mengajar seorang pelajar Singa Champs, Muhamad Ruzaiman Muhamad Rosli, sembilan tahun, cara untuk menimbang bola. - Foto BH oleh DESMOND WEE dan FACEBOOK ERNIE SONTARIL -

Tahun 2021 telah diisytiharkan sebagai Tahun Meraikan Wanita Singapura dengan tujuan memberi penghargaan kepada kemajuan yang dicapai wanita dan potensi mereka dalam masyarakat selain sumbangan penting mereka kepada kisah negara. Antara mercu tanda yang akan mewarnai sambutan tersebut termasuk meraikan Hari Wanita Sedunia pada Mac ini di samping semakan perundangan termasuk melibatkan Piagam Wanita. Fokus negara ini kepada wanita kian rancak tahun lalu apabila pemerintah mengumumkan semakan bagi isu-isu yang menjejas mereka. Komponen penting perbincangan itu melibatkan siri dialog yang akan menjadi asas bagi Kertas Putih yang akan dibentangkan. Sempena gerakan menghargai wanita, BERITA HARIAN mengetengahkan kisah-kisah perjuangan, pencapaian dan pengorbanan kaum Hawa bermula dengan pemain bola sepak negara, Cik Ernie Sontaril, yang mahu memperkasa golongan istimewa menerusi sukan.

AUTISME dan sukan biasanya bukan dua perkara yang saling berkait.

Namun, bagi pemain bola sepak wanita Singapura, Cik Ernie Sontaril, beliau percaya sukan dapat membangkitkan keyakinan dalam kanak-kanak dan belia dengan autisme.

Malah, Cik Ernie, 33 tahun, melihat potensi golongan kanak-kanak dan belia ini untuk cemerlang dalam sukan dan bersaing dalam pertandingan suatu hari kelak.

Matlamat itu menjadi pendorong bagi beliau untuk menubuhkan daya usaha baru khusus bagi kanak-kanak dan belia dengan austime, berusia empat hingga 16 tahun.

Dinamakan Singa Champs, inisiatif itu bertujuan menyediakan program dengan sekitaran mesra austisme untuk kanak-kanak dan belia membangun dan meneroka minat mereka.

Selain menawarkan latihan sukan seperti bola sepak, bola keranjang dan sukan memanah, Singa Champs juga menyediakan latihan seni dan kraf, muzik dan drama.

Program seni itu akan diselaraskan oleh Cik Siti Aisyah Rahmat, yang juga memiliki pengalaman dalam pendidikan khas.

Singa Champs turut diusahakan bersama cabang Kurang Upaya dan Rangkuman SportCares di bawah agensi sukan negara, Sport Singapore.

Ketika dihubungi Berita Harian, Cik Ernie, seorang guru pendidikan khas dan jurulatih bola sepak, mengatakan beliau mahu menyediakan lebih banyak wadah yang sesuai untuk kanak-kanak dan belia dengan autisme mendapat pendedahan kepada pelbagai kegiatan sukan.

Beliau meraih inspirasi ketika mengajar kelas latihan jasmani di sebuah sekolah pendidikan khas di sini dan melihat potensi pelajar untuk berjaya dalam sukan sekiranya mereka dibimbing dan diberi arahan yang betul.

"Apabila saya lihat mereka berjaya melakukan sesuatu dan meraikan kejayaan itu, ia membuat saya rasa sangat gembira.

"Ini menunjukkan bahawa mereka boleh melakukannya... hanya perlu beri bimbingan dan arahan yang betul. Ia juga menambah keyakinan dalam diri mereka," kongsi Cik Ernie, yang telah membuat 40 penampilan untuk pasukan wanita Singa - yang terbanyak untuk seorang pemain bola sepak wanita nasional.

Singa Champs merupakan program latihan khas autisme yang pertama dikendalikan dalam pengalaman selama 14 tahun Cik Ernie bergelar jurulatih bola sepak.

Beliau percaya mutu kehidupan kanak-kanak dan belia dengan autisme boleh diperbaiki melalui sukan.

"Saya mahu mereka miliki mutu kehidupan yang lebih baik... dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan nikmati keseronokan sukan. Dan sekiranya kami dapat membangunkan potensi mereka, mana tahu satu hari nanti mereka boleh bersaing dalam pertandingan."

Cik Ernie menambah program-program di Singa Champs akan diadakan di tempat yang tertutup atau jauh daripada pandangan awam supaya pelajar selesa untuk menjalani kelas.

Kegiatan program juga akan disesuaikan mengikut profil pelajar dan keperluan mereka dan dijalankan dalam kumpulan kecil.

Cik Ernie turut mengambil kira keadaan emosi golongan pelajar itu, sambil mengatakan sebuah ruang akan disediakan untuk pelajar mengawal emosi mereka sebelum bersedia mengikuti kelas.

"Apa yang penting untuk kami di Singa Champs adalah supaya kanak-kanak dan belia dengan autisme ini dapat turut serta dalam kegiatan yang disediakan dan bukan sahaja setakat menghadiri kelas," tambahnya.

Pendaftaran bagi kelas-kelas Singa Champs kini dibuka dan akan bermula 1 Mac ini.

"Saya mahu mereka miliki mutu kehidupan yang lebih baik... dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan nikmati keseronokan sukan. Dan sekiranya kami dapat membangunkan potensi mereka, mana tahu satu hari nanti mereka boleh bersaing dalam pertandingan." - Pemain bola sepak wanita Singapura, Cik Ernie Sontaril.

PROGRAM SINGA CHAMPS

BOLA SEPAK

Isnin: 4.30 hingga 6 petang

Sabtu: 1 hingga 2.30 petang

BOLA KERANJANG

Sabtu: 1 hingga 2.30 petang

PELBAGAI SUKAN

Khamis: 4.30 hingga 6 petang

Ahad: 1 hingga 2.30 petang

GYMMIE CHAMPS

Selasa: 5 hingga 6 petang

Sabtu: 10.30 hingga 11.30 pagi

CANVAS CHAMPS (SENI DAN KRAF)

Selasa: 5 hingga 6.30 petang

Sabtu: 9 hingga 10.30 pagi

RAWRY STARS (MUZIK DAN DRAMA)

Rabu: 5 hingga 6 petang

Ahad: 1.30 hingga 3 petang

Pendaftaran bagi kelas-kelas Singa Champs kini dibuka dan akan bermula 1 Mac ini.

Harga yuran kelas bermula daripada $55.

Lungsuri laman web www.singachamps.com untuk maklumat lanjut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg