PROJEK bola sepak nasional, Unleash The Roar!, dilancarkan semalam menerusi satu Fiesta Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA) di Hab Sukan Singapura.

Sekitar 200 pelajar atlet daripada program SFA, yang diadakan di 12 sekolah, melalui pengalaman menyeronokkan bermain di padang Stadium Nasional yang ikonik menerusi satu pertandingan lapan-lawan-lapan (8v8) antara SFA - pertama kali ia diperkenalkan.

Para pemain daripada SFA perempuan yang baru diperkenalkan - Sekolah Methodist Girls' dan Sekolah Menengah Woodlands - turut beraksi.

Kededua sekolah merupakan tambahan baru bagi program SFA tahun ini.

Salah seorang pemain, Khairufatin Suyasri, seorang pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Woodlands, berasakan pengalaman bermain di Stadium Nasional akan membantu pasukannya membuat persediaan untuk Sukan Sekolah Nasional yang bakal menjelang.

Pemain berusia 16 tahun itu berkata:

"Ia satu pendedahan baik untuk kami kerana ini kali pertama kali kami bermain di Stadium Nasional dan pengalamannya amat baik. Kami rasa seronok.

"Kami belajar bahawa walau apa yang berlaku dalam satu pertandingan, kami patut percaya dengan proses kami dan terus berikan usaha terbaik kami untuk perlawanan seperti ini dan yang akan datang.

"Ini perlawanan pertama kami tahun ini.

"Dengan para pemain menengah dua kini dinaikkan untuk bermain dalam Divisyen B tahun ini, peluang untuk bermain bersama dan merapatkan hubungan sebagai sebuah pasukan amat membantu."