Topic followed successfully
Go to BHkuProjek BTO di bawah model lokasi utama bakal dilancar di Bukit Merah, Queenstown
Projek BTO di bawah model lokasi utama bakal dilancar di Bukit Merah, Queenstown
Projek BTO di bawah model lokasi utama bakal dilancar di Bukit Merah, Queenstown
SEBANYAK dua projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet matang di Bukit Merah dan Queenstown akan ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH), menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Dua projek BTO itu merupakan antara lima tapak perumahan yang akan dilancarkan untuk penjualan bulan ini. Sekitar 4,500 flat akan dilancarkan bulan ini di estet matang seperti Bukit Merah, Queenstown, Toa Payoh dan estet tidak matang seperti Yishun dan Jurong West, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee dalam catatan di Facebook pada Isnin (23 Mei). Di Bukit Merah, sekitar 1,660 unit tiga bilik dan empat bilik akan ditawarkan di bawah PLH di kawasan bersempadan dengan Henderson, Tiong Bahru dan Lower Delta. Penduduk yang tinggal di sana dapat menggunakan kemudahan stesen MRT Redhill dan Tiong Bahru. Di Queenstown pula, sekitar 860 flat tiga dan empat bilik akan dilancarkan di Ghim Moh Road, bersebelahan dengan stesen MRT Buona Vista. Oktober lalu, projek BTO di Rochor merupakan projek pertama dilancarkan di bawah PLH. Di bawah PLH, syarat membeli dan menjual lebih ketat dikenakan seperti pemilik harus membayar 6 peratus daripada harga jualan semula atau taksiran, mana lebih tinggi, kepada HDB apabila menjual semula rumah mereka di pasaran terbuka buat kali pertama. Tempoh penginapan minimum (MOP) juga adalah selama 10 tahun, berbanding lima tahun bagi BTO biasa. Projek PLH - River Peaks I dan II di Rochor - dijual pada harga bermula dari $409,000 tanpa geran bagi flat tiga bilik dan $582,000 bagi flat empat bilik. PLH dilancarkan untuk memastikan semua flat HDB yang terletak di lokasi utama dan pusat, seperti pusat bandar dan kawasan sekitarnya, akan kekal dimampui dan diakses oleh lebih ramai pembeli. "Oleh kerana sambutan yang menggalakkan bagi projek PLH yang dilancarkan, HDB memutuskan melancarkan dua projek PLH di Queenstown dan Bukit Merah bulan ini. Kami akan terus menilai sifat lokasi projek dan nilai pasaran untuk terus menawarkan projek PLH dalam penjualan akan datang, jika terdapat tapak binaan yang tersedia dan sesuai,'' kata Encik Lee.
