PROJEK pertama di bawah model baru perumahan awam di lokasi utama akan dibina dan dilancarkan di Rochor pada latihan Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan depan (November).
Ia akan mempunyai campuran 960 flat tiga bilik dan empat bilik dengan 40 flat sewa dua bilik turut disertakan sebagai sebahagian usaha menjadikan penginapan di kawasan utama lebih mudah diakses semua.
Dua tapak tanah sepanjang Weld Road dan Kelantan Road bersebelahan stesen MRT Jalan Besar dikhususkan buat projek ini, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kenyataan bersamanya pada Rabu (27 Oktober).
Sebuah tempat meletak kereta bersebelahan Sim Lim Tower pernah berada di satu tapak tanah tersebut manakala satu lagi tapak tanah pernah menampung pasar lambak Sungei Road sehingga ia dikosongkan pada Julai 2017.
Selain stesen MRT berhampiran, bakal penduduk di kawasan itu akan juga menikmati kemudahan Pusat Makanan Berseh dan Sekolah Rendah Stamford berhampiran.
Di satu sidang media pada Selasa (26 Oktober), Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata lebih banyak flat HDB akan dibina dari masa ke masa selepas projek Rochor ini. Flat ini berada di kawasan utama di dalam pusat bandar atau sekelilingnya.
Memandang ke depan, HDB akan melancarkan sekurang-kurangnya satu projek perumahan di lokasi utama setiap tahun, jelas Encik Lee, sambil menambah bilangan flat baru di lokasi utama ini berbanding flat di kawasan lain berbeza mengikut perbandingan dari tahun ke tahun bagi memastikan bekalan berbeza di kawasan berbeza.
Di bawah model baru bagi perumahan awam di lokasi utama, flat mungkin dijual selepas tempoh penghunian minimum selama 10 tahun, kepada pembeli dengan gabungan pendapatan tidak melebihi $14,000.
Sebagai perbandingan, projek BTO di kawasan lain mempunyai tempoh penghunian lima tahun tanpa had pendapatan bagi pembeli flat yang dijual semula.
Subsidi lebih tinggi akan disediakan bagi flat BTO di lokasi utama berbanding unit BTO biasa bagi memastikan harganya dimampui pembeli.
Bagi mengekang lagi "kesan loteri" (pergantungan pada peluang atau nasib apabila mengundi bagi mendapatkan flat BTO di kawasan utama) di mana pemilik unit BTO menjual semula flat lokasi utama mereka bagi mendapatkan pulangan 'durian runtuh' lumayan. HDB akan juga memperolehi semula subsidi lebih tinggi bagi flat sebegini dengan mengambil potongan daripada hasil jualan semula. Lebih banyak maklumat akan didedahkan bulan depan.
Model perumahan lokasi utama ini yang tertakluk hanya pada projek akan datang akan dilaksanakan bagi projek BTO di kawasan pusat seperti di Greater Southern Waterfront. Sekitar 9,000 unit perumahan - kedua-dua awam dan swasta - akan dibina di tapak Kelab Golf Keppel, yang tempoh sewanya tamat pada Disember tahun ini.
Encik Lee berkata: "Jika anda membiarkan segalanya pada kuasa pasaran swasta, lokasi menarik ini kemungkinan akan menjadi sangat mahal dan lokasinya pula eksklusif, dengan perumahan yang dibangunkan kelak hanya dimampui golongan berada sahaja."
Situasi begini berlaku di banyak negara merata dunia, jelas Encik Lee, sambil menambah:
"Kami bersungguh-sungguh enggan ini berlaku di Singapura. Kami ingin memastikan kota kita ini kekal inklusif."
Model baru ini diperkenalkan selepas satu usaha mendekati orang awam yang berlangsung selama 10 bulan dijalankan dengan lebih 7,500 warga Singapura memberi pandangan mereka tentang isu ini.
Sebanyak 960 unit di Rochor adalah antara 4,400 flat BTO yang akan dilancarkan bulan depan, dengan kawasan lain termasuk Chua Chu Kang, Hougang, Jurong West, Kallang/Whampoa dan Tengah.
Lagi 2,000 hingga 3,000 flat BTO di Geylang, Tengah dan Yishun akan dilancarkan pada Februari tahun depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg