Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek diiktiraf peraduan DesignAsia; semangat inovatif membara dalam jiwa

Jan 18, 2022 | 5:30 AM
DIIKTIRAF: Produk Portable Privacy ilham Encik Zikri yang memberi ruang privasi kepada pengguna yang ingin bekerja di luar rumah dan pejabat diiktiraf semasa satu pertandingan seni reka baru-baru ini. - Foto BH oleh THADDEUS ANG
DIIKTIRAF: Produk Portable Privacy ilham Encik Zikri yang memberi ruang privasi kepada pengguna yang ingin bekerja di luar rumah dan pejabat diiktiraf semasa satu pertandingan seni reka baru-baru ini. - Foto BH oleh THADDEUS ANG -

Mereka meminati bidang yang berbeza - yang seorang minat bidang perubatan manakala seorang lagi minat bidang seni bina. Malah, dua anak muda ini berharap dapat memberi sumbangan yang dapat meninggalkan kesan pada masyarakat pada masa akan datang. BERITA HARIAN menyorot kisah dua anak muda serta pencapaian mereka baru-baru ini.

MESKIPUN masih di tahun kedua pengajiannya di politeknik, Encik Zikri Hajhari, 18 tahun, sudah pun berpeluang bekerjasama dengan pengamal industri dan pelajar lain dalam bidang yang sama serta meraih pengalaman daripada mereka.

Pelajar jurusan seni reka di Politeknik Ngee Ann (NP) itu baru-baru ini menyertai Pertandingan Seni Reka Pelajar DesignAsia.

Daripada 68 projek yang dikemukakan daripada tujuh institusi, enam finalis termasuk Encik Zikri disampaikan anugerah oleh Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, semasa Kongres Desain Asia baru-baru ini.

Projek yang dikemukakan Encik Zikri, yang dinamakan Portable Privacy, merupakan produk yang membolehkan pengguna mewujudkan ruang peribadinya semasa bekerja atau belajar di tempat awam.

Berbentuk seperti beg apabila dilipat, ia boleh dibuka untuk dijadikan panel privasi pada bila-bila masa penggunanya memerlukan ruang peribadi.

Produk itu juga dilengkapi dengan lampu supaya pengguna dapat terus bekerja atau belajar meskipun di tempat yang kurang bercahaya.

Menurutnya, beliau mendapat inspirasi bagi projek itu daripada pengalamannya sendiri mengulang kaji pelajaran bagi peperiksaan GCE Peringkat 'O' tidak lama dulu.

"Kadangkala saya tak dapat tumpukan perhatian di rumah, jadi saya cuba mencari tempat untuk belajar di luar seperti di kafe dan perpustakaan.

"Tapi ada masanya tempat itu kurang bercahaya dan susah nak belajar. Kadang-kadang juga, saya rasa kurang privasi," ujarnya.

Oleh itu, beliau terdorong mencipta produk itu lebih-lebih lagi dengan ramai warga bekerja dari rumah semasa pandemik Covid-19 sejak sekitar dua tahun lalu.

"Walaupun mereka bekerja di rumah, kadangkala mereka juga perlu keluar untuk menghadiri mesyuarat dan sebagainya, dan perlu mencari tempat untuk bekerja di luar pejabat dan rumah.

"Oleh itu, produk seperti ini dapat memberikan mereka privasi yang diperlukan sementara mereka menghabiskan kerja yang perlu dilakukan itu," kata beliau.

Menurut Encik Zikri, beliau mengambil masa sekitar tiga minggu untuk menghasilkan projek itu, daripada memikirkan idea bagi produk tersebut kepada menghasilkan prototaipnya.

Tambahnya, beliau teruja diberi peluang menyertai pertandingan tersebut yang memberi pelajar dan pereka muda wadah untuk memperluas pengalaman dan bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau juga tidak sangka akan diiktiraf kerana menyertai pertandingan itu untuk menimba pengalaman.

"Pengiktirafan ini juga membakar semangat saya untuk bekerja lebih keras untuk menghasilkan produk yang inovatif serta bermanfaat bagi masyarakat," ujar Encik Zikri yang beraspirasi menjadi pereka yang mewujudkan ruang masyarakat yang berupaya menyatukan serta menyepadukan orang ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg