DALAM usaha membantu warga emas yang berisiko mengalami kejadian terjatuh, Hospital Tan Tock Seng (TTSH) kini sedang menjalankan satu projek untuk mempertingkat keselamatan bagi golongan itu menggunakan teknologi.
Dipanggil Projek Carer Matters 2, salah satu ciri projek itu adalah sistem pengesanan jatuh dan penyelamatan yang menggunakan sensor automatik, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Menulis di Facebook semalam, Encik Masagos berkata projek itu memberikan ketenangan fikiran untuk warga emas dan penjaga mereka.
"Warga emas yang lemah menghadapi risiko terjatuh lebih tinggi, yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kemasukan ke hospital.
"Itulah sebabnya kita harus berusaha untuk menyediakan persekitaran rumah yang selamat dan baik untuk mereka," kata beliau.
Beberapa kajian sedemikian dibiayai di bawah Cabaran Inovasi Nasional (NIC) mengenai Penuaan Aktif dan Yakin, tambah Encik Masagos.
NIC mengenai Penuaan Aktif dan Yakin itu, yang ditadbir oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Nasional di Kementerian Kesihatan (MOH), bertujuan menjadi pemangkin bagi idea inovatif dan penyelidikan yang boleh mengubah pengalaman penuaan di Singapura.
"Saya berharap lebih ramai rakan boleh tampil ke hadapan untuk membangunkan projek demi membantu warga emas kita, dan menyertai usaha kami untuk menyokong penuaan sihat," kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg