MELIHAT keadaan pelawak Zainal Ihim terlantar tidak sedarkan diri di unit jagaan rapi (ICU) Hospital Ng Teng Fong sejak tiga minggu lalu merobek hati teman-teman seni seperjuangannya.
Rindu senda guraunya, sahabat rapat Zainal, yang mengalami jangkitan kuman di paru-paru, berasa mereka tidak boleh duduk diam dan perlu melakukan sesuatu, terutama mengenai kos rawatannya.
Lantas, mereka mengambil inisiatif menganjurkan sebuah projek mengumpul dana menerusi penjualan amal, dengan hasilnya disalurkan kepada keluarga Zainal demi meringankan beban kos rawatan.
Kumpulan sahabat itu terdiri daripada pelawak Husin Saaban, pelakon Junainah Jumari, Era Faridah (Fid), Noredayati Suhoot, Jasmani Basri dan anaknya Lydia Izzati serta penulis dan pengarah drama Keater H.M.
Menerusi Projek Kasih, mereka akan bergabung tenaga menjual pakej makanan sate beku, acar buah dan pes rempah pada harga $65 hingga $90 satu set.
Mereka tidak menetapkan jumlah yang hendak dikumpul, tetapi menurut Cik Lydia, jika 300 set makanan itu terjual, kira-kira $10,000 boleh dikumpul.
Encik Zainal, 62 tahun, dimasukkan ke hospital pada pertengahan bulan lalu setelah mengalami sesak nafas. Ketika di ICU pada waktu itu, beliau sempat menjawab pertanyaan Berita Harian mengenai penyakitnya melalui WhatsApp.
"Saya di ICU, lemah jantung, kurang darah dan paru-paru ada kuman," tulis Zainal ringkas.
Selain menjadi pelawak, beliau pernah bekerja sebagai pengirim surat di firma guaman dan insurans.
Menurut adiknya, Encik Zaini, abangnya dipindahkan ke wad biasa pada akhir bulan lalu tetapi dimasukkan semula ke ICU apabila tiba-tiba keadaannya menjadi tidak stabil.
"Doktor nasihatkan agar abang ditidurkan dengan induced coma agar perhatian dapat diberikan pada ubat-ubatan dan rawatan, yang sebelum itu tidak memberi banyak kesan," kata Encik Zaini.
Ketika ditemui BH, Keater, yang sebelum itu beliau kerap berjumpa dan makan bersama Zainal serta teman-teman lain, termasuk Fid dan Noredayati, berkata, dalam keadaan sedih, bahawa mereka tidak dapat mengetepikan keprihatinan mereka tentang kos rawatan kawan mereka itu.
"Keluarga Zainal tak minta tolong atau mengadu soal duit tetapi kami sedar rawatan di ICU yang berpanjangan bukanlah murah," kata Keater.
Menurut Encik Zaini, keluarganya belum memikirkan soal kos rawatan kerana "fokus untuk memastikan Zainal dapat diselamatkan dalam keadaan apa pun", dan tidak mengharapkan apa-apa bantuan. Namun beliau terharu dan berterima kasih mengenai hasrat murni teman-teman abangnya.
Cik Era Faridah pula berkata: "Kami sangat sayang pada Zainal... orang yang kami anggap sebagai seorang abang yang sangat baik hati... tak pernah sakitkan hati kawan sedangkan kami yang selalu menyakatnya.
"Siapa yang pernah bekerjasama dengan dia pasti setuju abang Enal senang diajak bekerjasama. Kami rasa perlu melakukan sesuatu demi melihat abang Enal pulih seperti biasa."
Husin berkata rakan artis atau peminat yang ingin ikut serta dalam projek itu, antara lain boleh membantu menghantar pesanan pakej amal kepada penderma agar kos penghantaran dapat disalurkan ke dana itu.
Sate beku daging ayam, kambing dan lembu bagi projek amal ini akan disiapkan oleh Satay Ummi, syarikat milik Lydia, dengan dagingnya didapatkan daripada syarikat bapanya, Jasmani.
Pes rempah disiapkan Junainah, yang mengeluarkan pes instan Rempah Kak Jun By Balqis sejak lebih tiga tahun lalu.
Acar buah pula produk perniagaan dari rumah Noredayati. Menurut pelakon komedi itu, acar buah yang diberi nama Noree Acar Buah Gigits itu mempunyai nilai sentimental kerana ideanya dicetuskan arwah adiknya yang meninggal dunia setelah menderita barah pada 2019.
Butiran bagi pakej jualan amal itu akan dikongsikan di media sosial artis-artis terlibat. Tempahan boleh dibuat menerusi akaun Instagram dan Facebook mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg