Topic followed successfully
Go to BHkuProjek kesihatan berdasar demografik dibentuk
Projek kesihatan berdasar demografik dibentuk
Projek kesihatan berdasar demografik dibentuk
PROJEK bagi menggalak masyarakat Melayu terus proaktif dalam mengutamakan kesihatan mereka bakal dibentuk berdasarkan keperluan demografik tertentu bagi memastikan setiap anggota masyarakat dapat meraih manfaat penuh daripada program kesihatan yang bakal diadakan dengan lebih meluas.
Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam yang menerajui usaha tersebut, berkata projek itu - yang diberi nama Program Saham Kesihatan - melibatkan kerjasama semua pihak termasuk Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), ActiveSG dan Persatuan Rakyat (PA) untuk sama-sama 'turun padang' bagi mengolah program yang disesuaikan dengan masyarakat tertentu.
Diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri kelmarin, projek itu bertujuan mengukuhkan lagi program kesihatan sedia ada.
"Kami akan menyuntik elemen yang kita rasa dapat menggalak lebih ramai untuk turut serta dan juga kekal dalam proses ini.
"(Dalam mengolah program ini) sekiranya (demografik penduduk) lebih tua, dan mungkin ada penyakit tertentu, program yang akan diolah perlu bersesuaian untuk mereka.
"Kita juga akan mendapatkan maklum balas daripada mereka yang terlibat dalam kawasan estet tersebut seperti pemimpin akar umbi umpamanya untuk menyumbang idea bagi memastikan program itu lebih khusus dan bersesuaian dengan gaya hidup dan rentak golongan itu," katanya sambil menambah program tersebut akan diubah suai jika demografik penduduk lebih muda.
Satu kumpulan kerja bersama pemimpin masyarakat juga telah ditubuhkan bagi meneliti aspek pemakanan, kegiatan jasmani, pemeriksaan kesihatan, tabiat merokok dan kesihatan mental, dengan sebuah program perintis menyasarkan keluarga muda di M3@Jurong dan M3@Tampines diusahakan.
Program tersebut akan diperluas ke setiap M3@Bandar.
Satu lagi unsur baru yang bakal dilaksanakan adalah untuk memadankan beberapa jurulatih kesihatan kepada individu yang menyertai program kesihatan anjuran projek Saham Kesihatan tersebut bagi memberikan panduan yang lebih khusus berdasarkan keperluan tertentu, kata Cik Rahayu.
Bagi mewujudkan ekosistem sokongan dan mempermudahkan komunikasi, wadah seperti WhatsApp akan digunakan di mana semua peserta boleh berinteraksi antara satu sama lain.
Semasa mengumumkan projek itu kelmarin, Encik Masagos melahirkan keprihatinannya mengenai trend kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Menukil Tinjauan Kesihatan Penduduk Negara, Encik Masagos berkata kes kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini meningkat sekitar dua kali ganda pada 2020 berbanding 2006, manakala kes tekanan darah tinggi pada 2020 1.5 kali lebih tinggi berbanding 2017.
Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Norhisham Main melahirkan harapannya agar karyawan kesihatan Melayu/Islam dapat bergabung dalam inisiatif itu bagi membantu masyarakat mempertingkat kesihatan mereka dan "tidak habiskan masa melawan penyakit".
"Kita boleh pelajari dari tempoh Covid-19 di mana kita memantau kesihatan diri untuk mengelakkan daripada Covid-19 tapi pada masa yang sama disiplin itu juga mengelakkan daripada penyakit-penyakit lain. Jadi penting untuk terus pertingkat kebolehan kita - contohnya dengan bersenam - untuk melawan penyakit-penyakit lain," ujarnya.
