Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prosedur ujian, kuarantin Covid-19 orang keperluan khas akan diperbaiki

Rahayu: MOH akur maklum balas penjaga, sedar ujian dan kuarantin lebih mencabar bagi golongan kurang upaya
Jun 10, 2021 | 5:30 AM
UJIAN SWAB: Bagi memenuhi keperluan golongan berkeperluan khas, MOH antara lain sedang meneroka pilihan mendapatkan relawan profesional yang dilatih untuk bekerja dengan golongan itu bagi menjalankan ujian Covid-19 bagi mereka, dan akan menyemak penggunaan ujian kurang mengganggu bagi mereka yang kurang upaya. - Foto BH oleh DESMOND FOO
UJIAN SWAB: Bagi memenuhi keperluan golongan berkeperluan khas, MOH antara lain sedang meneroka pilihan mendapatkan relawan profesional yang dilatih untuk bekerja dengan golongan itu bagi menjalankan ujian Covid-19 bagi mereka, dan akan menyemak penggunaan ujian kurang mengganggu bagi mereka yang kurang upaya. - Foto BH oleh DESMOND FOO -

KAKITANGAN yang dilatih khusus membantu orang berkeperluan khas boleh dikerah untuk melakukan ujian swab bagi mereka pada masa depan, sebagai sebahagian usaha dipertingkat lebih inklusif.

Ini sedang diteroka Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia menyusuli maklum balas daripada penjaga orang berkeperluan khas mengenai pengalaman mereka semasa orang jagaan mereka menjalani ujian swab dan kuarantin Covid-19, kata Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau berkata relawan daripada Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) juga boleh ditugaskan menjalankan ujian swab pada masa depan.

Ini selain mengkaji keberkesanan melakukan ujian alternatif dengan mengambil kira pertimbangan seperti masa yang diperlukan, ketepatan ujian dan keselesaan orang yang diuji, dan mempertingkat perhubungan antara berbilang agensi terlibat dalam menguruskan proses kuarantin.

Mengenai memperbaiki proses ujian swab, Cik Rahayu berkata kakitangan yang dilatih melakukan ujian swab tidak dilatih secara khusus untuk menangani golongan berkeperluan khas.

"Kami sedang meneroka pilihan mendapatkan relawan profesional, serta relawan daripada Majlis Kebangsaan Perkhidmatan Sosial, yang dilatih untuk bekerja dengan golongan berkeperluan khas," katanya.

Dua penjaga orang berkeperluan khas berkongsi di Facebook beberapa hari lalu pengalaman mereka semasa orang jagaan mereka mendapatkan ujian swab.

Pos mereka tular dan mencetus gesaan agar pihak berkuasa mempertingkat usaha membantu golongan berkeperluan khas melalui protokol Covid-19.

Seorang daripada mereka, Cik Cindy Chee, 45 tahun, berkongsi bagaimana anaknya yang mempunyai autisme, Matthew, 18 tahun, tidak dapat dikecualikan daripada ujian swab wajib hingga kakitangan bertugas melihat remaja itu memukul tembok dan cuba menarik ibunya keluar dari khemah ujian itu.

Cik Chee berkata mengajar rutin baru kepada Matthew mengambil masa. Anaknya itu memerlukan masa enam bulan sebelum hendak memakai pelitup dan percaya bahawa ibu dan gurunya yang memakai pelitup bukan "orang jahat".

Guru pendidikan khas Amilia Koh, 26 tahun, juga berkongsi tentang abangnya yang berusia 34 tahun dan kurang upaya secara intelektual, menghadapi kesukaran sewaktu menjalani ujian swab pada 4 Jun.

Abangnya tidak dapat memahami keadaan itu hingga hampir mengalami meltdown - keadaan seseorang hilang kawalan ke atas kelakuannya dan mengamuk.

Cik Rahayu berkata Kementerian Kesihatan (MOH) mendengar maklum balas daripada kedua-dua penjaga.

"Kami memahami aduan mereka dan adalah malang bahawa mereka terpaksa menjalani pengalaman sebegitu.

"Kami menyedari bahawa proses swab dan kuarantin boleh menjadi lebih mencabar bagi golongan berkeperluan khas kerana mereka mungkin tidak selesa dengan sekitaran atau orang yang mereka tidak biasa," katanya.

MOH juga akan menyemak penggunaan ujian Covid-19 kurang mengganggu bagi mereka yang kurang upaya.

Mengenai proses kuarantin, Cik Rahayu berkata MOH memenuhi permintaan bagi penjaga menemani individu yang dikuarantin sekiranya mereka warga emas, di bawah umur atau mempunyai isu kesihatan yang menyebabkan mereka tidak berupaya menjaga diri mereka.

"Kami telah mengingatkan Certis, ejen kami bagi perintah kuarantin, agar lebih peka dan mengamalkan ihsan apabila menangani golongan berkeperluan khas," kata Cik Rahayu.

Penjaga dan golongan berkeperluan khas juga boleh menjangka proses kuarantin lebih lancar, kata MOH, kerana ia akan memperbaiki perhubungan antara pelbagai agensi terlibat.

"Kami sedang meneroka pilihan mendapatkan relawan profesional, serta relawan daripada Majlis Kebangsaan Perkhidmatan Sosial, yang dilatih untuk bekerja dengan golongan berkeperluan khas... Kami memahami aduan mereka dan adalah malang bahawa mereka terpaksa menjalani pengalaman sebegitu. Kami menyedari bahawa proses swab dan kuarantin boleh menjadi lebih mencabar bagi golongan berkeperluan khas kerana mereka mungkin tidak selesa dengan sekitaran atau orang yang mereka tidak biasa." - Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan) Rahayu Mahzam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg