Proses huraian pertikaian dengan institusi kewangan
PENGGUNA yang mempunyai aduan terhadap mana-mana institusi kewangan perlu berhubung langsung dengan institusi berkenaan untuk mencari penyelesaian.
Ini kerana setiap institusi kewangan dikehendaki mempunyai proses menyelesaikan aduan pengguna dengan segera dan berkesan.
Namun setelah berhubung dengan institusi kewangan, jika pengguna masih tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan institusi tersebut, mereka boleh merujuk ke Pusat Huraian Pertikaian Institusi Kewangan (FIDReC).
"Berbeza daripada badan seperti Persatuan Pengguna Singapura (Case), Fidrec adalah sebuah institusi bebas dan tidak berpihak yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian kos rendah untuk pengguna dan institusi kewangan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif FIDReC, Cik Eunice Chua dalam wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.
FIDReC berkhidmat sebagai pengantara dalam pertikaian antara pengguna dan institusi kewangan.
Ia mempunyai had tuntutan $100,000 bagi setiap tuntutan yang dibawa ke proses penghakiman pertikaian.
Pengguna tidak dikenakan bayaran bagi khidmat pengantaraan namun jika mereka mahu membawa kes ke proses adjudikasi, bayaran $50 dikenakan.
Untuk maklumat lanjut mengenai khidmat FIDReC, layari laman https://www.fidrec.com.sg/

