PROSES ujian bagi mereka yang telah mengunjungi pusat hiburan KTV atau berinteraksi dengan pelayan sejak 29 Jun lalu adalah rahsia, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semalam.
Encik Ong mengingatkan mereka yang telah mengunjungi pusat hiburan KTV agar menempah slot janji temu di pusat pemeriksaan demi melindungi diri mereka sendiri dan orang tersayang.
Beliau menambah bahawa keutamaan kini adalah untuk mengenal pasti mereka yang telah dijangkiti dan mengasingkan mereka dengan pantas untuk melindungi masyarakat.
Mereka yang tidak selesa atau tidak mahu diuji di pusat pemeriksaan harus "sekurang-kurangnya" mengasingkan diri mereka dan mendapatkan ahli keluarga membelikan kit ujian pantas antigen (ART), kata Encik Ong.
Mereka juga harus memantau kesihatan mereka sepanjang 14 hari seterusnya dan tidak berinteraksi dengan sesiapa.
"Jika pada hari-hari akan datang itu anda rasa tidak sihat, cepat pergi ke klinik, jumpa doktor, uji diri anda sendiri, agar kami boleh mengetahui dengan cepat," tekan Encik Ong.
Encik Ong berkata lebih 100 orang telah menjalani ujian sejak Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan operasi ujian khas itu kelmarin.
Gesaan beliau itu dibuat menyusuli 56 kes jangkitan Covid-19 baru dalam masyarakat yang dilaporkan semalam, dengan 41 daripadanya dikaitkan dengan kelompok KTV itu.
Beberapa pusat hiburan KTV seperti Club Dolce di Balestier Point dan Empress KTV di Pusat Beli-Belah Tanglin, dikaitkan dengan kelompok itu.
Ujian Covid-19 percuma telah dilanjutkan kepada mereka yang mengunjungi lokasi tersebut sejak 29 Jun.
Premis tersebut ditutup kepada orang awam mulai kelmarin hingga 27 Julai ini.
Dalam kenyataannya lewat semalam, polis berkata 20 wanita warga Malaysia, Thai, Vietnam, dan Korea berusia antara 20 tahun dengan 34 tahun telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan maksiat di tiga KTV yang telah mengubah operasi menjadi tempat menjual makanan dan minuman (F&B).
Ia juga sedang menyiasat tiga pengendali KTV itu kerana kesalahan melanggar langkah pengurusan selamat di bawah Peraturan Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, kerana mereka telah menyediakan khidmat pelayan.
Ia tidak menamakan tiga KTV itu, tetapi berkata penangkapan itu dibuat semasa operasi yang dijalankan di South Bridge Road, Selegie Road dan Geylang Road pada 13 Julai.
Salah satu tempat itu juga didapati menyediakan permainan dadu, yang tidak dibenarkan.
Menurut polis, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga sedang mempertimbang langkah menarik balik lesen makanan pengendali yang didapati bersalah melanggar undang-undang.
Jika sabit kesalahan melanggar langkah pengurusan selamat, pesalah boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda $10,000 atau kededuanya sekali.
"Jika pada hari-hari akan datang itu anda rasa tidak sihat, cepat pergi ke klinik, jumpa doktor, uji diri anda sendiri, agar kami boleh mengetahui dengan cepat... Namun, kami kuat mengesyaki, dan polis begitu juga bahawa data yang kami ada daripada TraceTogether dan SafeEntry tidak menyeluruh." - Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg