Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memperkukuh langkah perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam institusi agama akan menyemak semula protokol.

Ia bagi pelaporan kejadian serta proses saringan dan pemantauan individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan bersama kanak-kanak dan golongan muda.

Di samping itu, ia juga akan meneliti rangka kerja semasa yang mengawal penyampaian bimbingan agama dan piawaian profesional, termasuk bagaimana Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) serta kod tatalaku profesionalnya berhubung kait dengan langkah perlindungan yang lebih menyeluruh.

Perkara itu dikongsi oleh Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, salah seorang daripada dua pengerusi bersama jawatankuasa tersebut, kepada media di ibu pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di Braddell Road pada 30 September.

“Kita perlu meneliti rangka kerja semasa yang mengawal penyediaan bimbingan agama kita, termasuk langkah perlindungan dan piawaian profesional yang terpakai dalam pelbagai persekitaran.

“Kita mesti bersedia untuk menilai secara jujur ​​apa yang berkesan, apa yang mungkin perlu diubah, serta aspek yang boleh dipertingkatkan,” kata Ustaz Fathurrahman, sambil menggesa orang ramai supaya membiarkan proses itu berjalan dengan sewajarnya.

“Dan kita tidak seharusnya membuat andaian awal mengenai hasil kajian tersebut pada masa ini,” tambah beliau.

Penubuhan jawatankuasa itu pertama kali diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen pada 8 September.

Ia dibuat susulan kes dua kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pempengaruh agama’ dan mengadakan kelas agama di sebuah masjid tanpa kebenaran.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Ustaz Fathurrahman dan Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum.

Ustaz Fathurrahman juga merupakan Pengarah Eksekutif (Bahagian Pendidikan) Andalus Corporation, manakala Dr Razwana ialah Ketua Program Keselamatan dan Strategi Global di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Pada 30 September, MUIS turut mengumumkan keanggotaan jawatankuasa itu, yang terdiri daripada sembilan individu dengan latar belakang profesional dan pengalaman masyarakat yang berbeza

Jawatankuasa itu juga akan mengemukakan hasil dapatan serta cadangan mereka kepada Encik Zaqy menjelang akhir 2026.

Dua bidang utama yang akan diteliti oleh jawatankuasa itu termasuk mengkaji semula rangka kerja tadbir urus dan perlindungan di institusi keagamaan utama, seperti masjid, madrasah serta pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP).

Ia juga akan mengkaji rangka kerja yang mengawal penyediaan pengajaran agama bagi membolehkan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, mendapatkan bimbingan agama yang sahih dengan selamat, termasuk dalam persekitaran formal, tidak formal dan dalam talian.

Dalam menyemak semula langkah perlindungan dan proses saringan di institusi keagamaan, Ustaz Fathurrahman menambah matlamatnya bukanlah untuk menjadikan institusi keagamaan kurang terbuka atau kurang mesra kepada orang ramai.

Matlamatnya adalah untuk memperkukuh kepercayaan serta memberikan keyakinan lebih tinggi kepada keluarga, selain membolehkan kanak-kanak belajar dan menuntut ilmu agama dengan selamat di institusi agama, tambah beliau.

“Langkah perlindungan yang lebih kukuh ini tidak seharusnya menjadikan institusi agama kita tidak terbuka, kurang terbuka, kurang mesra kepada jemaah. Ini harus dielakkan,” kata Ustaz Fathurrahman.

“Sebaliknya, ia seharusnya memperkukuh hubungan antara institusi dengan jemaah, dan juga memperkukuh kepercayaan dan memberikan keyakinan kepada ibu bapa, waris dan masyarakat.”