Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, menyuarakan gesaan antarabangsa terhadap gencatan senjata bagi mengakhiri peperangan di Gaza dengan mengikuti undang-undang antarabangsa diikuti dengan perbincangan damai yang sebenar.
Puan Halimah menekankan usaha-usaha pembinaan semula mesti menjadi pendekatan utama bagi negara-negara Timur Tengah, terutama di negara-negara Teluk.
“Dengan sumber yang melimpah, kejayaan global dan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat, ini adalah faktor penting untuk mencapai matlamat ini,” kata beliau dalam ucapannya di Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura pada 25 Jun di Hotel Orchard.
Puan Halimah menyuarakan keyakinan bahawa kesediaan untuk bekerjasama dan menggunakan kekayaan alam serta pencapaian global adalah kunci untuk menggerakkan proses ke arah perdamaian yang sebenar dan kelestarian di rantau Timur Tengah.
Beliau menambah, isu ini tidak hanya berkaitan dengan politik tetapi juga memerlukan keprihatinan global dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan jangka panjang di Timur Tengah.
Perbincangan lanjut dijangka dijalankan untuk merangkumi langkah-langkah konkrit bagi melaksanakan gencatan senjata dan usaha membina semula dengan berkesan.
“Peperangan berpanjangan di Gaza yang telah berlangsung lebih dari lapan bulan telah menyebabkan kehilangan nyawa yang besar terutama di kalangan wanita dan kanak-kanak, serta merosakkan prasarana dengan meluas,’‘ ujar Puan Halimah.
Perkembangan ini ujar Puan Halimah, yang juga merupakan Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, menimbulkan keresahan di seluruh Timur Tengah.
Beliau turut mengupas isu-isu berkaitan sistem pendidikan di Singapura, negara-negara Teluk dan keupayaannya untuk memenuhi ekonomi berdasarkan pengetahuan.
Beliau turut menyentuh peranan evolusi pendidikan dalam membentuk tenaga kerja masa depan, dengan menekankan kepentingan reformasi sosial dan budaya dalam transformasi ini.
Pendidikan menurutnya memainkan peranan penting dalam transformasi masyarakat, terutama di negara-negara Teluk di mana penyertaan pekerja wanita yang rendah merupakan satu cabaran besar.
Kemudahan mendapatkan pendidikan bermutu bagi kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan adalah kunci, dan kerjasama antara sekolah, perniagaan, dan agensi perkhidmatan sosial boleh menyediakan pengalaman pembelajaran yang relevan dan autentik kepada pelajar.
Pendidikan kata Puan Halimah perlu menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah dengan cepat, memupuk kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti, dan literasi digital, serta nilai-nilai peribadi seperti kewarganegaraan dan pendidikan karakter.
Kerjasama di antara pendidik, majikan, dan pembuat dasar adalah penting untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan baik untuk menghadapi cabaran masa depan.
Pengerusi MEI, Encik Bilahari Kausikan menyatakan negara-negara Teluk, terutama Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, dan Oman, sedang mengalami transformasi yang signifikan untuk mengubah masyarakat dan ekonomi mereka.
Usaha-usaha ini kata Encik Bilahari dianggap penting untuk kewujudan rantau tersebut, dengan pendidikan dan kepimpinan wanita memainkan peranan penting dalam transformasi ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg