Topik diikuti
Pergi ke BHkuPUB akan tingkat kecekapan proses suling air demi kurangkan karbon
PUB akan tingkat kecekapan proses suling air demi kurangkan karbon
PUB akan tingkat kecekapan proses suling air demi kurangkan karbon

AGENSI air negara, PUB mahu mengurangkan pelepasan karbon dengan meningkatkan kecekapan proses penyulingan air dan membuat AirBaru dengan mengurangkan penggunaan tenaga bagi penyulingan daripada 3.5 kilowatt-jam (kWj) kepada kurang 2 kWj bagi setiap meter padu menjelang 2025.
Ia sebahagian usaha menyeluruh negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan Singapura sebuah bandar mesra iklim.
Mengumumkan langkah tersebut, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu turut mendedahkan matlamat PUB menggantikan penggunaan tenaga berasaskan sumber karbon dengan tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar.
"Kami kini mempunyai salah satu loji solar terapung terbesar di dunia, di Takungan Tengeh.
"Kami sedang menempatkan loji solar terapung seterusnya di Takungan Pandan, dan bercadang mengeluarkan tender pada akhir tahun ini," katanya.
Cik Fu juga berkata PUB sedang meneroka teknologi inovatif untuk mengeluarkan karbon.
Sebagai contoh, agensi itu bekerjasama dengan Universiti California, Los Angeles (UCLA) untuk menguji penggunaan teknologi elektrolisis baru bagi menjerat karbon dioksida dalam air laut sebagai sebahagian proses penyulingan.
Proses itu akan menghasilkan hidrogen dan air laut prarawatan supaya ia boleh disuling dengan kurang tenaga.
Usaha menggalakkan perniagaan mengurangkan penggunaan tenaga turut dipertingkat, kata Cik Fu.
Misalnya, Dana Kecekapan Tenaga juga ditambah untuk menggalak syarikat perkilangan melabur dalam peralatan yang boleh menjimatkan penggunaan tenaga.
"Kami juga akan memudahkan lagi proses permohonan geran dengan memperkemas keperluan pengukuran dan pengesahan.
"Saya menggalakkan syarikat yang layak supaya memanfaatkan skim yang dipertingkat bagi membiayai kos peralihan kepada lebih peralatan cekap tenaga," kata Cik Fu.
Dalam usaha memantau pencapaian sektor awam melaksanakan agenda kemampanan dan mesra alam, pemerintah akan menerbitkan laporan tahunan mulai tahun kewangan (FY) 2023.
Di bawah inisiatif GreenGov.Sg sektor awam mengejar sasaran kemampanan yang tinggi demi menjadi pengaruh positif dan mengupayakan usaha hijau.
Cik Fu menerangkan pemerintah akan mula dengan melaporkan pelepasan Skop 1 dan 2, penggunaan air dan elektrik dengan merujuk kepada piawaian dan rangka kerja antarabangsa.
Pelepasan Skop 1 merujuk kepada pelepasan langsung yang dihasilkan syarikat atau entiti - seperti pelepasan daripada kenderaan milik syarikat seperti kereta dan trak, manakala pelepasan Skop 2 merujuk kepada pelepasan tidak langsung, seperti pelepasan gas rumah hijau yang diperoleh daripada pengeluar elektrik yang dijana di luar tapak.
Cik Fu menambah mulai FY2024, semua badan berkanun juga akan membuat pendedahan tahunan berhubung usaha kemampanan masing-masing.
