Topik diikuti
Pergi ke BHkuPUB beri amaran risiko banjir kilat di tengah-barat SG dek hujan berterusan
PUB beri amaran risiko banjir kilat di tengah-barat SG dek hujan berterusan
PUB beri amaran risiko banjir kilat di tengah-barat SG dek hujan berterusan

AGENSI air negara PUB memberi amaran tentang risiko banjir kilat di bahagian tengah-barat Singapura sedang hujan berterusan turun di serata negara ini pagi semalam.
Terdapat risiko tinggi banjir di Commonwealth Lane dan Commonwealth Drive, dengan longkang dan terusan di kawasan tersebut hampir mencapai kapasiti penuh, kata PUB di Twitter sebelum 11 pagi.
PUB berkata paras air dalam longkang dan terusan telah meningkat melebihi 90 peratus, tetapi kemudian turun sedikit bawah 90 peratus pada sekitar 11.10 pagi.
Ramalan cuaca bagi 24 jam dan empat hari oleh Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) semalam menunjukkan hujan petir boleh berlaku sekali-sekala.
Suhu pula dijangka turun serendah 23 darjah Celsius semalam.
Menurut ramalan dua minggu terkini MSS, suhu mungkin turun kepada 22 hingga 23 darjah Celsius pada beberapa hari hujan.
Dalam satu kiriman Facebook kelmarin, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata cuaca sejuk dan hujan ini adalah disebabkan lonjakan monsun pertama dalam musim monsun timur laut sekarang ini, yang kemungkinan berlarutan dari malam tahun baru hingga ke hujung minggu.
Singapura mengalami antara dua dengan empat lonjakan monsun setiap tahun secara purata, dengan kebanyakannya berlaku di antara bulan Disember dengan Mac.
Beberapa bulan ini, Singapura mengalami musim monsun timur laut, apabila angin bertiup terutama dari utara.
Tempoh ini juga seiring dengan bulan-bulan musim sejuk di hemisfera utara, di mana udara di dataran Asia utara seperti Siberia, berada dalam keadaan sejuk dan kering.
Lonjakan monsun berlaku apabila terdapat peningkatan mendadak dalam kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk melonjak dan ditiup ke arah selatan, ke Laut China Selatan.
Apabila udara sejuk bergerak ke selatan, ia memanaskan dan menjadi lembap, mengakibatkan awan hujan tebal terbentuk di kawasan khatulistiwa, termasuk di Singapura.
Setiap lonjakan monsun biasanya berlangsung antara dua dengan tiga hari dan boleh membawa angin timur laut kencang, serta cuaca yang sejuk dan terus hujan di Singapura dan kawasan sekitarnya, kata MSS.
Hujan serta guruh dijangka pada sebelah petang dan malam semasa tempoh ini disebabkan pertembungan angin di Singapura dan kawasan sekitarnya.
"Semasa musim ini, mungkin juga terdapat beberapa lonjakan monsun yang membawa hujan berpanjangan dan meluas di Singapura dan kawasan sekitarnya," tambah MSS.
