LONGKANG di sebanyak 13 kawasan di serata Singapura mencapai paras penuh 90 peratus semalam pagi, menurut amaran banjir kilat oleh agensi air Singapura, PUB.
Antara 7 pagi dengan 8 pagi, sistem aliran air di kawasan seperti Telok Kurau, Longkang Besar Siglap, Cambridge Road, Aljunied Road dan Sims Avenue East dilaporkan mencapai kapasiti hampir penuh.
PUB menasihatkan orang ramai supaya elak daripada berkunjung kawasan berkenaan selama sekurang-kurangnya satu jam kerana terdapat risiko banjir kilat.
Ia berkata hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Singapura hingga 9.30 malam.
Minggu lalu, Khidmat Kaji Cuaca dalam laporan dwibulanannya menyatakan cuaca hujan dijangka berterusan sepanjang separuh pertama Oktober dengan hujan bersertakan guruh dijangka berlaku pada kebanyakan hari.
Hujan tersebut selalunya berlaku antara waktu pagi dengan awal petang, dan suhu cuaca seharian secara purata dijangka berada pada 24 hingga 33 darjah Celsius.
Cuaca hujan bakal merendahkan suhu itu kepada 23 hingga 32 darjah Celsius dalam beberapa hari.
September lalu, kejadian tanah runtuh berlaku di tapak binaan Clementi NorthArc di Clementi Avenue 6, menyebabkan kerosakan kepada Penghubung Taman Ulu Pandan serta menyebabkan tanah menggelongsor ke dalam Longkang Besar Ulu Pandan.
Isnin lalu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, ketika menjawab pertanyaan di Parlimen secara bertulis, berkata semasa tempoh cuaca hujan lebat, agensi tempatan mungkin akan melakukan pemeriksaan setiap minggu atau bulan kepada cerun dengan lebih kerap.
Beliau menambah, walaupun sebab di balik tanah runtuh itu masih sedang disiasat, pergerakan tanah masih boleh berlaku disebabkan faktor seperti hujan lebat dan tempoh hujan berlarutan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg