PUB siasat jika kerja binaan punca banjir
AGENSI air negara PUB sedang menyiasat sama ada kerja binaan telah menyebabkan banjir di simpang jalan raya di Pasir Ris-Tampines semalam.
PUB berkata pasukan respons pantas telah dikerah ke kawasan tersebut sekitar 8 pagi, apabila banjir dilaporkan di simpang Tampines Avenue 10 dengan Pasir Ris Drive 12 menghala ke susur masuk Ekspreswe Tampines (TPE).
PUB sedang menyiasat sebab banjir di simpang Pasir Ris-Tampines untuk menentukan sama ada sebarang kerja binaan di kawasan itu telah mengganggu longkang atau mengadang aliran keluar air kerana kejadian ini tidak berlaku di kawasan rendah atau di tempat yang biasa mengalami banjir," katanya, menulis di Facebook.
Banjir itu reda sekitar 9.40 pagi.
Beberapa orang yang terjejas akibat banjir itu berkata mereka mendapat tahu daripada pihak berkuasa mengenai longkang yang tersumbat.
Difahami, longkang di tepi jalan turut menjadi elemen penting dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Menteri Kanan Teo Chee Hean, semalam, berkata kededua PUB dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menyiasat banjir itu dan sebab mengapa paras air meningkat pantas.
Menulis di Facebook, beliau menggesa pemandu untuk berhati-hati apabila melalui tempat itu, kerana ada kerja-kerja yang mungkin sedang dijalankan.
PUB menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memasuki kawasan yang banjir.
Jika paras air naik terlampau deras dan menyebabkan kenderaan terhenti, pemandu harus meninggalkan kenderaan mereka dan pergi ke tempat yang lebih tinggi, jika boleh berbuat demikian dengan cara lebih selamat.

