BIASA dijual oleh penjual jalanan, bakso adalah salah satu makanan jalanan yang paling terkenal di Indonesia dan digemari anak kelahiran Indonesia Cik Siti Juariah, yang membesar dengan makanan itu.
Ketika ke Singapura 13 tahun yang lalu setelah berkahwin dengan suaminya Encik Ramlan Ramli, seorang warga Singapura, beliau selalu teringin untuk memakan mi bakso yang asli, namun, tidak pernah menemui hidangan tempatan yang dapat memuaskan keinginannya.
Dari itu tercetus satu idea bagi Cik Siti untuk mempelajari resipi di kampungnya dan memulakan perniagaan, Planet Bakso yang menjual bakso yang asli di Singapura.
"Terdapat satu hari, tiba-tiba saya teringin untuk makan mi bakso.
"Jadi saya pun cari di merata Singapura. Tetapi kebanyakan mi bakso yang dijual itu selalunya mempunyai sup mi soto dan di campur dengan bebola daging.
"Itu sebenarnya bukan mi bakso yang asli," kata Cik Siti, 36 tahun, seorang penduduk tetap (PR) Singapura.
Dengan inspirasi untuk menawarkan mi bakso yang asli kepada warga Singapura, Cik Siti pulang ke kampungnya di Indonesia untuk mempelajari bagaimana untuk memasak hidangan tradisional itu daripada tukang masak bakso di sebuah warung.
Mengambil hanya tiga hari untuk mempelajari resipi itu, Cik Siti kemudian pulang ke Singapura untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan resipinya.
Antara usaha yang dilakukannya untuk menyempurnakan resipinya adalah untuk memberikan sampel percuma kepada orang ramai di tempat awam.
"Selain daripada mendapatkan maklum balas daripada keluarga saya, saya juga mengagihkan makanan saya di tempat awam di kawasan Geylang Serai.
"Saya bersama suami saya mengagih bakso kita kepada pembantu di City Plaza dan tempat letak kereta Tanjong Katong.
"Setelah mendapat maklum balas yang baik, ia telah memberi saya keyakinan untuk teruskan dengan penjualan di bawah Planet Bakso," jelas ibu kepada tiga orang anak itu.
Kini, Planet Bakso, mempunyai sebanyak 13 beraneka hidangan bakso , termasuk menu popular seperti bakso Volcano, bakso Merapi dan bakso beranak.
Sejak permulaan perniagaannya pada 2007, Planet Bakso pernah berniaga di pelbagai acara dan tempat popular seperti Expo Singapura, Bazar di Jalur Budaya Geylang Serai serta Celeb Fest.
Meskipun beliau kini berniaga sebagai peniaga dari rumah akibat wabak Covid-19, Cik Siti merancang untuk membuka kedai secara fizikal dalam masa akan datang.
"Alhamdulillah, kami mendapat banyak sokongan daripada pelanggan.
"Jika diberi peluang, saya ingin membuka kedai yang fizikal di kawasan Geylang Serai supaya pelanggan saya dapat menikmati hidangan saya," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg