Topik diikuti
Pergi ke BHku“Pulse @ Jurong” dilancar sebagai platform digital baharu untuk masyarakat barat S’pura
“Pulse @ Jurong” dilancar sebagai platform digital baharu untuk masyarakat barat S’pura
“Pulse @ Jurong” dilancar sebagai platform digital baharu untuk masyarakat barat S’pura
Pulse @ Jurong, platform digital baharu yang dibangunkan oleh Jurong Point dan Link Asset Management, dilancarkan pada 7 November bagi menghubungkan masyarakat di kawasan barat Singapura dengan pelbagai maklumat dan perkhidmatan harian.
Aplikasi ini menghimpunkan maklumat pengangkutan, perniagaan kejiranan, tawaran makanan dan peruncitan, kegiatan masyarakat serta kemudahan asas dalam satu platform.
Bermula di Jurong Point, aplikasi ini bertujuan memperluas peranan pusat beli-belah itu sebagai pusat tumpuan masyarakat dengan menghubungkan penduduk, pekerja, pelajar dan pengunjung kepada perkhidmatan serta kegiatan di kawasan sekitarnya.
Pengguna boleh menyemak waktu ketibaan bas, maklumat tempat letak kereta dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik, selain mendapatkan cadangan tempat makan, tawaran peruncitan serta maklumat acara masyarakat.
Ketika dilancarkan, Pulse menyediakan lebih 470 senarai kedai dan tempat menarik setempat.
Platform ini turut menampilkan 200 penyewa Jurong Point dan lebih 300 peniaga kejiranan di kawasan sekitarnya.
Aplikasi tersebut dibangunkan berdasarkan maklum balas kumpulan tinjauan dan ujian beta tertutup yang melibatkan 270 individu yang tinggal dan bekerja di kawasan barat Singapura sepanjang lapan bulan.
“Maklumat setempat yang terkini dapat membantu penduduk merancang kegiatan harian dan menyertai kegiatan masyarakat. Saya berharap Pulse @ Jurong dapat memudahkan penduduk mengetahui kegiatan berhampiran mereka,” kata Encik Patrick Tay, Anggota Parlimen (AP) bagi SMC Pioneer dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Pioneer.
Pengurus Besar Jurong Point, Encik Andy Kau, berkata aplikasi itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat setempat dan mengetahui kegiatan masyarakat serta perniagaan kejiranan.
“Ini hanyalah permulaan. Kami akan terus menambah baik platform ini dan memperkenalkan ciri-ciri baharu berdasarkan maklum balas penduduk, peniaga dan rakan kerjasama masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan projek perintis itu juga berpotensi membuka jalan kepada peluasan platform berkenaan ke rangkaian hartanah Link yang lain.
Selain memudahkan penduduk mendapatkan maklumat, platform ini turut membantu peniaga setempat meningkatkan daya tarikan perniagaan mereka dan menarik pelanggan baharu melalui tawaran istimewa serta kempen yang disasarkan.
Pulse @ Jurong juga menyediakan maklumat mengenai peluang menjadi sukarelawan dan program masyarakat, dengan pautan ke platform penganjur untuk pendaftaran.
Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store.
Pengguna baharu yang mendaftar mulai 7 November turut berpeluang menikmati baucar makanan dan peruncitan di kaunter pendaftaran yang ditetapkan di Jurong Point.