Puluhan beg baju kurung dikumpul ceriakan sambutan Raya
Projek kumpul baju kurung baru, terpakai Tampines Changkat bantu golongan memerlukan sempena Hari Raya
Puluhan beg dan bungkusan baju kurung padat mengisi ruang dewan di Kelab Masyarakat (CC) Tampines Changkat baru-baru ini.
Ini menyusuli satu projek pengumpulan baju kurung baru dan terpakai – berlangsung selama 12 hari, dari 10 hingga 21 Januari – yang menarik penderma dari serata Singapura, selain penduduk di Tampines.
Diadakan secara tahunan sejak 2013, Projek Baju Kurung Tampines Changkat merupakan inisiatif masyarakat yang bertujuan menyokong keluarga dan individu memerlukan di kawasan Tampines Changkat sempena sambutan Hari Raya.
Pejabat Kawasan Undi Tampines Changkat memberitahu Berita Harian (BH) projek tersebut mendapat sokongan yang kukuh daripada masyarakat setiap tahun, dengan sambutan yang amat menggalakkan kali ini.
“Respons tahun ini (2026) amat baik sekali, dengan pengumpulan yang meningkat setiap tahun, serta sokongan daripada penduduk Tampines Changkat dan juga penduduk di serata pulau,” kata seorang jurucakap pejabat itu.
Projek itu juga menggalakkan penduduk setempat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menderma pakaian yang masih dalam keadaan baik.
Baju yang terkumpul itu kemudian akan diagihkan kepada golongan memerlukan.
Projek ini telah dilaksanakan secara tahunan dan 2026 menandakan kesinambungan usaha tersebut, berteraskan sokongan kukuh masyarakat sejak bertahun sebelumnya, kata jurucakap pejabat itu.
Projek tersebut, yang disokong oleh Rangkaian Penduduk Zone 5 Tampines Changkat, melibatkan bantuan sekitar 30 hingga 40 sukarelawan yang bertungkus lumus berkhidmat – termasuk mengumpul, mengasing, membungkus dan membuat persiapan untuk mengagihkan pakaian itu.
Sukarelawan terdiri daripada penduduk serta relawan masyarakat setempat.
Salah seorang penderma baju kurung, Cik Nur Farah Damri, 42 tahun, berkata penyertaannya dalam inisiatif itu merupakan satu pengalaman yang mengharukan.
“Sebagai penderma, saya menyumbangkan baju kurung terpakai anak-anak saya. Peluang untuk berkongsi baju kurung terpakai anak-anak dengan keluarga yang memerlukan sempena Hari Raya amat bermakna buat kami.
“Kami mengambil keputusan untuk menyertai projek ini kerana ia sejajar dengan nilai kami untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Penyertaan dalam projek yang memupuk sikap ihsan dan perpaduan merentas kawasan memberi inspirasi kepada kami untuk menyumbang dan membawa kesan positif,” katanya, yang mempunyai empat cahaya mata.
Beliau mengetahui tentang projek ini menerusi seorang rakan peribadi, yang juga sukarelawan projek tersebut, Cik Suzana Ahmad Dawan, 68 tahun.
Cik Nur Farah memutuskan untuk menyokong inisiatif ini selepas didorong oleh semangat dan dedikasi Cik Suzana yang telah mengendalikan projek berkenaan selama 14 tahun.
“Saya baru bersara dan ingin meluangkan lebih masa dalam kerja kemasyarakatan, kerana saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi kembali, walaupun saya telah menghabiskan 30 tahun melakukan kerja kemasyarakatan bersama Persatuan Rakyat (PA) sebagai pemimpin akar umbi,” kata Cik Suzana, yang juga bertanggungjawab mengurus Taman Rama-Rama Tampines Changkat.
CC Tampines Changkat berharap agar inisiatif ini dapat terus menyatukan penduduk, bukan sekadar melalui sumbangan, malah melalui nilai bersama seperti keprihatinan, empati dan semangat kemasyarakatan.

