RAMADAN lalu, Encik Rosman Ahmad, 54 tahun, telah berniat untuk membeli lampu lap lip untuk jiran-jirannya tahun ini jika mendapat pekerjaan baru.

Apabila diberkati pekerjaan baru Februari lalu, Encik Rosman menunaikan niatnya dan langsung membeli tujuh kotak lampu lap lip pada minggu terakhir Mac.

Pegawai keselamatan itu mula memasang lampu lap lip di rumah jiran-jirannya sebanyak 15 unit di tingkatnya.

"Malam itu juga setelah membeli lampu, saya mula memasang dahulu dan kemudian bersama-sama jiran yang lain. Memang dah niat untuk sedekah dan beli lampu untuk semua. Selepas pasang lampu lap lip tu, barulah nampak lebih meriah kawasan rumah untuk raikan Hari Raya," ujar pegawai keselamatan itu kepada Berita Harian baru-baru ini.

Hiasan lampu lap lip di Blok 693D Woodlands Ave 6 tingkat enam itu telah menarik perhatian orang ramai apabila video yang memaparkan cahaya hiasan lampu itu dimuat naik di media sosial oleh Cik Noor Azizah Abd Wahab, salah seorang penduduk di tingkat itu.

Antara ciri menarik hiasan lampu itu adalah penggunaan lampu laser berputar yang memancarkan cahaya ke dinding dan lantai.

"Saya rasa terperanjat apabila mendapat tahu video saya telah dikongsi begitu banyak sekali dan telah mencapai bilangan penonton yang tinggi.

"Sejujurnya satu kejadian yang tidak disangka sehingga kami menerima pengunjung yang ingin melihat lampu lap lip," ujar Cik Azizah, seorang guru pendidikan awal kanak-kanak, 32 tahun.

Videonya itu juga telah menarik perhatian mantan Ahli Parlimen Sembawang GRC, Encik Amrin Amin, yang turut mengunjungi blok itu dan juga telah membuat catatan di Facebooknya. Catatan tersebut telah menerima hampir 4,000 likes dan dikongsi hampir 400 kali.

Encik Amrin memuji usaha kejiranan itu dan berkata kunjungannya itu satu pengalaman yang membangkitkan semangat.

Berbelanja sekitar $400 untuk lampu-lampu lap lip itu, Encik Rosman menambah:

"Tak sangka pula buat lampu begini dapat perhatian ramai dan kami tetangga menerima ramai pengunjung yang datang untuk melihat hiasan lampu kami. Saya tak mengharapkan apa-apa pun, hanya melaksanakan niat Ramadan lalu."

Menurut Encik Rosman, beliau telah merujuk nasihat kepada jirannya, Encik Abd Wahab Baba, bapa Cik Azizah, yang dianggap sebagai 'tok penghulu' di kalangan jiran-jiran.

"Jika saya perlukan apa-apa, saya sering bertanya kepada Abang Wahab kerana beliau lebih berpengalaman dan saya juga suka berbual bersamanya," cerita Encik Rosman, yang tinggal bersama ibunya yang berusia 77 tahun.

Apabila ditanya mengenai perasaan Encik Wahab melihat hiasan lampu lap lip tersebut, pekebun berusia 65 tahun itu menjawab beliau gembira melihatnya.

"Tetapi apa yang lebih menggembirakan adalah sekarang saya dapat lihat jiran-jiran lebih mesra bercampur, tegur-menegur dan lebih erat dalam hubungan mereka.

"Alhamdulillah, kami dapat jiran yang baik-baik. Dengan jiran tak kira bangsa, kami semua mesra," kata bapa tiga anak dan datuk kepada tujuh cucu itu.

Mengulas lebih akan semangat kejiranan yang dipaparkan, Cik Azizah berkata:

"Saya sangat bangga dan beruntung kerana mempunyai jiran-jiran seperti mereka yang sering bergotong-royong untuk membantu satu sama lain."

Encik Rosman menambah bahawa beliau masih ada hiasan lampu yang telah dibeli dalam talian dan semuanya akan lebih lengkap pada malam raya, jika tiada aral melintang.

"Malam itu juga setelah membeli lampu, saya mula memasang dahulu dan kemudian bersama-sama jiran yang lain. Memang dah niat untuk sedekah dan beli lampu untuk semua. Selepas pasang lampu lap lip tu, barulah nampak lebih meriah kawasan rumah untuk raikan Hari Raya. ...Sejujurnya satu kejadian yang tidak disangka sehingga kami menerima pengunjung yang ingin melihat lampu lap lip." - Encik Rosman Ahmad.