Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pupuk sifat sukarela dalam belia demi sumbang bakti pada masyarakat

Nov 20, 2024 | 5:30 AM
Pusingan kelima program Mara Mentoring menampilkan kohort penuh dengan 30 pembimbing, terdiri daripada pelajar sarjana muda daripada pelbagai universiti serta pelbagai kumpulan karyawan.
Pusingan kelima program Mara Mentoring menampilkan kohort penuh dengan 30 pembimbing, terdiri daripada pelajar sarjana muda daripada pelbagai universiti serta pelbagai kumpulan karyawan. - Foto HUMAIRA SAFIYA MOHD HELMI, AMIRUL DANIEZ

Humaira Safiya Mohd Helmi dan Amirul Daniez

Kemajuan M Kuasa 3 (M³) dalam memperkukuh perpaduan masyarakat Melayu/Islam dan mempertingkat kedudukan dalam aspek pendidikan dan sosial menarik perhatian Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang hadir di forum M³ pada 10 November.

Beliau yang berucap di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central berkata, sejak penubuhannya lima tahun lalu, M³ telah berjaya mengenal pasti serta menangani isu masyarakat dengan lebih baik melalui kerjasama di antara ketiga-tiga institusi – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

“Kesepaduan ini membolehkan mereka menyediakan sokongan yang lebih berintegrasi dan memperkukuh perkhidmatan hingga ke peringkat terakhir,” ujar Encik Wong.

Melalui dasar seperti M³@Bandar, M³ berjaya menggerakkan lebih ramai sukarelawan dan mendekatkan program dan perkhidmatan sedia ada kepada penduduk setempat.

Melalui usaha ini, bantuan dapat diberikan kepada sasaran individu yang lebih tepat, sesuai dengan keperluan mereka.

Encik Wong turut menggariskan keberkesanan program bimbingan belia M³ yang telah memadankan lebih 1,600 mentor dengan 5,700 belia.

Program itu bukan sahaja menyokong pembangunan peribadi bahkan juga memupuk budaya menyumbang bakti di dalam diri belia dengan penglibatan lebih 4,000 sukarelawan.

Encik Wong turut menggalakkan lebih ramai belia menyertai usaha itu demi masa depan masyarakat.

Forum tersebut turut memberikan tumpuan terhadap pemerkasaan belia sebagai mentor.

Ini dengan beberapa sukarelawan belia yang menerima Anugerah Khas Mendaki yang bertujuan meraikan usaha mereka yang sesuai untuk dijadikan inspirasi.

Pemerkasaan belia selaras dengan bidang tumpuan tiga (FA 3) M³, yang menumpukan kepada sokongan golongan belia melalui bimbingan untuk membina kemahiran, watak, dan tujuan yang akan mempersiapkan mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Tumpuan lain termasuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.

Naib Presiden Kelab Mendaki, Cik Amalina Abdul Nasir, adalah salah seorang penerima anugerah sukarelawan yang diiktiraf atas sumbangannya dalam bimbingan belia.

Cik Amalina berkongsi bahawa inspirasinya untuk mula menyumbang kepada masyarakat datang daripada pengalaman peribadinya, kerana beliau juga pernah dibimbing oleh seorang mentor.

“Saya mempunyai mentor hebat yang melihat potensi dalam diri saya dan menggilap kemahiran saya, memberikan peluang, dan pendedahan yang dapat membantu saya berkembang dan terus memperbaiki diri.

“Pengalaman ini membuat saya sedar betapa pentingnya seorang pembimbing yang dapat membina watak dan kemahiran untuk membantu seseorang mencapai potensi diri,” katanya.

Mengenai keberkesanannya sebagai sukarelawan, beliau berkata, “Saya berharap dapat melihat lebih ramai belia yang melangkah ke hadapan dengan visi jangka panjang dan komitmen terhadap perubahan.

“Ini penting untuk kelestarian program sukarelawan kami kerana kami memerlukan lebih ramai pemimpin muda yang aktif.”

Cik Amalina turut menasihati belia yang berminat supaya menceburi bidang sukarela.

“Mulakan sahaja! Langkah pertama selalunya sukar. Sekarang sudah banyak sumber dan program yang tersedia. Cubalah pelbagai aktiviti sukarelawan untuk mencari bidang yang sesuai dengan impak yang ingin anda capai,” katanya.

Sebagai penerima anugerah, Cik Amalina berazam untuk terus meningkatkan sumbangannya dalam masyarakat.

“Anugerah ini memberi saya motivasi untuk terus mencari cara bagi memperluaskan impak dan membantu lebih ramai belia dalam komuniti kita,” ujarnya.

Forum yang kami hadiri membuktikan komitmen M³ terhadap pembinaan masyarakat yang dinamik dan menyokong, dengan penglibatan belia di barisan hadapan sebagai pemimpin dan penyumbang masa depan.

Dengan komitmen berterusan M³ dan sokongan padu daripada belia, sukarelawan, serta pemimpin masyarakat, kami yakin bahawa perubahan positif bukan sahaja mungkin berlaku, malah sedang berlaku.

Sebagai penerus legasi, kita semua mempunyai peranan penting dalam memperkasakan generasi akan datang.

Ini dengan tekad untuk terus memberi kesan besar dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk semua.

Kejayaan hari ini adalah bukti bahawa apabila kita bersatu, tiada impian yang terlalu besar untuk dicapai.

Penulis, Humaira Safiya Mohd Helmi adalah mahasiswi di Universiti Nasional Singapura (NUS) manakala Amirul Daniez adalah mahasiswa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Kededuanya sukarelawan M³.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg