Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat data besar perlu perketat keselamatan, daya tahan menerusi rang undang-undang baharu
Pusat data besar perlu perketat keselamatan, daya tahan menerusi rang undang-undang baharu
Pusat data besar perlu perketat keselamatan, daya tahan menerusi rang undang-undang baharu
Pusat data besar yang menyokong perkhidmatan digital penting di Singapura perlu menangani risiko keselamatan fizikal, kesinambungan operasi dan keselamatan siber susulan kelulusan rang undang-undang baharu serta pindaan undang-undang semasa.
Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital, yang diluluskan Parlimen pada 7 Oktober, bertujuan memastikan kecekapan tenaga dan daya tahan operasi menerusi pelesenan.
Pindaan Akta Keselamatan Siber pula mengenakan keperluan pelaporan kejadian siber terhadap kebanyakan pusat data utama.
Ketika membincangkan rang undang-undang yang diluluskan semua Anggota Parlimen (AP) itu, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata:
“Pelbagai perkhidmatan digital sering bergantung pada pusat data atau penyedia perkhidmatan awan yang sama.
“Apabila berlaku gangguan, kesannya tidak terhad kepada satu perkhidmatan digital sahaja. Banyak perkhidmatan boleh terjejas serentak, dan impaknya boleh merebak dengan pantas ke seluruh ekonomi serta masyarakat kita.”
Sekitar dua pertiga daripada 70 pusat data di Singapura akan tertakluk kepada rang undang-undang baharu itu kerana mencatat purata hasil tahunan sekurang-kurangnya $100 juta daripada pengguna Singapura dalam tempoh tiga tahun atau memerlukan sekurang-kurangnya 10 megawatt (MW) kuasa elektrik.
Pihak berkuasa tidak menamakan syarikat terbabit, namun pengendali di Singapura pada skala ini termasuk Amazon Web Services, Microsoft Azure dan Google Cloud Platform.
Dalam perbahasan selama lima jam pada 6 dan 7 Oktober, 19 AP membincangkan daya saing, pekerjaan, kemudahan lama, kemampanan, keselamatan dan daya tahan.
Encik Tan berkata lonjakan permintaan kuasa pengkomputeran bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) telah mendorong pembangunan pusat data sehingga menjadi isu yang dipertikaikan dan dijadikan isu politik di banyak negara.
Sesetengah negara terpaksa bertindak selepas pertumbuhan pesat pusat data meningkatkan tekanan terhadap bekalan elektrik, air dan tanah. Pada 2026, Thailand membekukan kelulusan projek pusat data baharu untuk membangunkan piawaian kebangsaan, manakala Sepanyol dan Australia sedang menggubal undang-undang bagi sektor itu.
Singapura perlu merancang lebih awal kerana sumber tanah, tenaga dan airnya terhad.
“Kita merancang lebih awal... untuk membuka ruang seluas mungkin bagi ekonomi dan masyarakat digital serta aspirasi AI kita, tanpa melampaui batas sumber dan alam sekitar,” kata Encik Tan.
Singapura kini mempunyai lebih 1.6 gigawatt (GW) kuasa pusat data merangkumi kira-kira 70 pusat data, termasuk tambahan 200MW yang diperuntukkan kepada empat pengendali pada Ogos 2026.
Encik Tan berkata rang undang-undang itu memberi perniagaan kepastian tentang peraturan yang perlu dipatuhi, sambil membolehkan pemerintah menyesuaikan syarat keselamatan, daya tahan dan kemampanan mengikut keadaan semasa.
Rang undang-undang itu memperkenalkan lesen infrastruktur digital asas (FDI) dan pusat data (DC). Lesen FDI diwajibkan bagi pusat data yang memerlukan sekurang-kurangnya 10MW kuasa elektrik serta penyedia perkhidmatan awan dengan purata hasil tahunan melebihi $100 juta daripada pengguna Singapura.
Pemegang lesen FDI perlu memastikan keselamatan fizikal dan siber, menyediakan rancangan kesinambungan perniagaan dan pemulihan bencana serta melaporkan kejadian tertentu kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Butiran lanjut yang masih dirangka akan ditetapkan melalui peraturan subsidiari dan Kod Amalan.
Bagi keperluan pelaporan kejadian keselamatan siber yang serupa, laporan akan disalurkan kepada IMDA, yang akan berkongsi maklumat dengan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).
Encik Tan berkata pengendali mungkin diwajibkan pada masa depan untuk memaklumkan pengguna jika berlaku gangguan perkhidmatan siber.
Pusat data yang menggunakan sekurang-kurangnya 3MW elektrik untuk mengendalikan peralatan penting seperti pelayan, pemacu simpanan dan perkakasan rangkaian perlu mendapatkan lesen DC.
Pemegang lesen DC perlu memenuhi keperluan kecekapan penggunaan tenaga (PUE) yang belum ditetapkan.
PUE mengukur kecekapan tenaga pusat data, dengan 1 sebagai skor sempurna. Kontrak pusat data yang diberikan kepada pengendali pada Julai 2023 menetapkan PUE 1.3.
“PUE ialah titik permulaan, tetapi tidak merangkumi semua aspek kemampanan. Penggunaan elektrik dan air sektor ini juga perlu dipantau,” kata Encik Tan, sambil menambah kecekapan tenaga peralatan dan penggunaan air mungkin dipertimbangkan pada masa depan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pertumbuhan pusat data tidak akan meningkatkan kos elektrik isi rumah kerana pengendali membeli elektrik pada kadar komersial atau daripada pasaran borong.
Encik Tan berkata pengendali pusat data boleh dikenakan tindakan jika gagal menunaikan janji sumbangan ekonomi yang dibuat untuk memperoleh bekalan kuasa terhad di Singapura.
Janji itu, termasuk pelaburan, pewujudan pekerjaan dan penyelidikan, boleh dijadikan syarat lesen.
IMDA dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) akan menangani sebarang dakwaan kegagalan menunaikannya.
Encik Tan berkata langkah itu mencerminkan pendekatan Singapura untuk meraih nilai terbaik daripada sumber pengkomputeran negara yang terhad.
“Kita tidak mahu menarik setiap megawatt pusat data yang ada... Sumber yang terhad bukan sekadar untuk diperuntukkan, tetapi mesti digunakan secara produktif dan menghasilkan nilai yang dijanjikan,” katanya.
Rang undang-undang itu juga membolehkan IMDA mengenakan denda sehingga $1 juta atau 10 peratus daripada perolehan tahunan syarikat di Singapura, mengikut mana yang lebih tinggi, jika gagal memenuhi syarat keselamatan siber dan kesinambungan perniagaan.