HANYA penduduk setempat dan pemegang pas kerja yang telah mengambil ujian Covid-19 dalam masa 24 jam boleh mengunjungi pusat karaoke dan hiburan malam di bawah program perintis pemerintah membuka semula pusat tersebut.

Demikian antara perincian langkah pengurusan keselamatan bagi program perintis itu yang diumumkan Persatuan Perniagaan Kegiatan Malam Singapura (SNBA) semasa sidang media pada Isnin (9 Nov).

Pusat hiburan malam dibenarkan menampung sehingga 100 orang dengan zon tarian dan makan dengan kapasiti sehingga 50 orang setiap satu.

Mereka yang mengunjungi pusat juga mesti memakai pelitup sepanjang menari dan berdiri 2 meter daripada kumpulan lain, dengan penanda lantai dan penghadang fizikal akan diletakkan.

Pusat karaoke pula dibenarkan mempunyai kumpulan lima orang setiap satu dalam bilik tertutup yang perlu dibersihkan, dinyahjangkit dan dianginkan selama 15 minit sebelum kumpulan seterusnya dibolehkan masuk.

Pengunjung boleh makan dan minum di dalam bilik tersebut.

Butir-butir itu diumumkan berikutan pengumuman pemerintah minggu lalu bahawa ia akan membolehkan 25 perusahaan mengambil bahagian dalam program perintis selama dua hingga tiga bulan bagi tempat hiburan dibuka semula, dengan langkah pengurusan selamat ketat diamalkan. - The Straits Times