Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat kawalan baru ramal jerebu Asia Tenggara dibuka di S’pura

Sedia maklumat sokong tindakan kecemasan, lindung alam sekitar, kuat kuasa undang-undang
Sep 5, 2024 | 3:53 PM
Pusat Meteorologi Khusus Serantau bagi Ramalan Kebakaran Tumbuhan dan Pencemaran Asap yang mula beroperasi pada September, diharap dapat memberi ramalan jerebu rentas sempadan yang lebih tepat agar pemerintah dan orang ramai dapat mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih awal.
Pusat Meteorologi Khusus Serantau bagi Ramalan Kebakaran Tumbuhan dan Pencemaran Asap yang mula beroperasi pada September, diharap dapat memberi ramalan jerebu rentas sempadan yang lebih tepat agar pemerintah dan orang ramai dapat mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih awal. - Foto ST

Singapura telah dipilih untuk menempatkan pusat kawalan kebakaran hutan dan pencemaran asap peringkat Asia Tenggara, dalam usaha membolehkan rantau ini meramal jerebu rentas sempadan.

Matlamat pusat serantau itu adalah bagi memberi ramalan lebih tepat tentang jerebu, agar pemerintah dan orang ramai boleh mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi udara kurang sihat.

Singapura sudah menempatkan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC), yang bukan hanya mengawasi jerebu dan ramalan cuaca, malah menyediakan alat berkaitan dengan iklim bagi rantau ini.

Pusat Meteorologi Khusus Serantau bagi Ramalan Kebakaran Tumbuhan dan Pencemaran Asap baru itu, yang mula beroperasi pada September, merupakan satu inisiatif oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO). 

Ia merupakan salah satu daripada dua pusat serupa di dunia dan akan membuat penyelidikan lebih mendalam mengenai masalah jerebu, dan mengisi jurang semasa dalam membuat ramalan yang tepat, kata pengarah ASMC, Cik Koh Li-Na, di luar forum serantau ASMC-WMO pada 4 September.

Kedua-dua ASMC dan pusat baru itu ditadbir oleh Khidmat Kaji Cuaca Singapura.

“Jika kita meneliti cara membuat ramalan hari ini, kita melihat gambar satelit lalu mengenal pasti keberadaan kawasan panas.

“Jika terdapat liputan awan yang sangat tebal, adalah lebih sukar untuk memerhati dan membuat ramalan,” kata Cik Koh kepada The Straits Times.

Menurut beliau, beberapa kawasan panas yang dikesan melalui satelit mungkin juga bukan kebakaran hutan dan di sinilah pusat baru itu memainkan peranan penting dalam menyediakan alat dan teknologi alternatif.

“Jika kita, tidak dapat membuat pemerhatian secara langsung, apakah produk di luar sana yang boleh memproses gambar, serta melakar pembentukan angin dan penyebaran asap dengan lebih baik?

“Setidak-tidaknya, kita dapat memahami kemungkinan yang akan berlaku dalam situasi jerebu,” tambahnya.

Pusat baru tersebut akan membangun keupayaan meramal bagaimana asap dari kebakaran hutan di Sumatera, sebagai contoh, tersebar melalui udara sambil menunjukkan negara yang berkemungkinan terkena jerebu.

Pelantikan Singapura sebagai Pusat Meteorologi Khusus Serantau bagi Ramalan Kebakaran Tumbuhan dan Pencemaran Asap itu diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 4 September di forum tiga hari.

Menurut Cik Fu, pusat baru itu bertujuan menyediakan maklumat bagi menyokong keputusan dalam tindakan kecemasan, perlindungan alam sekitar, pengurusan kesihatan awam, kebakaran dan penguatkuasaan undang-undang.

Menurut laporan tinjauan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, cuaca yang lebih lembap disebabkan fenomena iklim La Nina menjejas Singapura dan rantau ini dengan risiko rendah jerebu rentas sempadan pada 2024.

Profesor Madya Steve Yim daripada Sekolah Alam Sekitar Asia di NTU menambah:

“Pusat ini boleh menyediakan ASMC dengan data masa nyata secara terperinci untuk memantau dan meramal jerebu.

“Ini memudahkan kerjasama antara pemerintah untuk mengurang dan mencegah kejadian jerebu rentas sempadan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg