SETELAH tiga bulan menjalani pembaikan dan naik taraf, pusat penjaja East Coast Lagoon Food Village dibuka semula kelmarin.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata antara lain pusat itu telah dicat semula sementara kerusi, meja, lampu dan kipas diganti dengan yang baru.
Pemilik gerai Adimann Seafood & Satay Specialist, Encik Muhammad Hasif Mohamad Suradi, 29 tahun, berkata pusat tersebut kini lebih moden, luas dengan warna yang cerah.
"Setelah tiga bulan berehat dan luangkan masa dengan keluarga, saya lega dan gembira dapat kembali bekerja," jelasnya.
Sementara itu beberapa gerai kelihatan masih ditutup tetapi dijangka dibuka esok.
Antaranya gerai Haron Satay.
Ketika dihubungi, Cik Harlina Haron, pengurus Haron Satay berkata beliau ghairah memulakan semula perniagaan di kawasan itu.
"Saya suka kerja-kerja pembaikan dan naik taraf yang dilakukan. Kelihatan lebih lapang dan bersih. Mereka juga tambah lebih banyak kipas dan ini baik kerana pelanggan kini tidak lagi akan rasa kepanasan," katanya.
Encik Hasif menambah pada hari pertama pembukaan, beliau gembira dengan respons pelanggan.
"Mulanya agak perlahan, mungkin kerana belum ramai yang tahu akan pembukaan semula pusat penjaja ini. Alhamdulillah, sekitar 8 malam, lebih ramai pelanggan datang dan perniagaan semakin rancak," tambahnya.
Cik Harlina juga melahirkan harapan agar cuaca pada hari-hari mendatang baik dan lebih ramai pelanggan datang untuk makan di tempat baru itu.
"Saya juga berharap dengan keadaan yang lebih selesa, pelanggan akan lebih suka mengunjungi dan menikmati suasana di tempat ini, seperti saya," katanya.
Kerja pembaikan dan naik taraf dilakukan setiap enam hingga lapan tahun, dan biasanya antara dua dengan tiga bulan bergantung pada skop kerja.
Kos penambahbaikan ditanggung NEA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg