SEBUAH pusat pakar hernia dengan kemudahan dan keupayaan moden telah dibuka di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Pusat tersebut yang dijangka menerima antara 1,600 hingga 1,800 pesakit setahun menjangkakan lebih ramai penduduk setempat - terutamanya warga senja - akan menghidap masalah tersebut berdasarkan penduduk yang menua.
Pusat pimpinan Konsultan Kanan Jabatan Pembedahan NUH, Profesor Davide Lomanto, berkata ia antara lain menawarkan kepakaran yang berbilang disiplin berkaitan masalah hernia - termasuk pakar bedah plastik, pakar radiologi, pakar pemakanan - dalam usaha mengoptimumkan pesakit bagi pembedahan.
Selain tiga bilik konsultasi, bersama satu bilik untuk prosedur kecil dan satu bilik rawatan bagi penilaian klinikal dan persalinan selepas pembedahan, ia juga mempunyai teater pembedahan bagi memperbaiki masalah hernia, termasuk pembedahan kurang invasif dan robotik.
Sebelum pusat ini dibangunkan para pesakit hernia diuruskan klinik-klinik berbeza.
"Singapura menyaksikan pertumbuhan kejadian masalah hernia dalam penduduk yang menua dengan sekitar sepertiga kes melibatkan mereka berusia 60 tahun ke atas.
"Terdapat juga pertambahan kes-kes yang kompleks serta profil mereka yang datang untuk rawatan, termasuk pesakit kencing manis, kegemukan dan penyakit jantung.
"Lantas ini memerlukan pendekatan berbilang disiplin dan kepakaran dengan persiapan sebelum pembedahan perlu dibuat agar pesakit mampu mencapai hasil yang optimal," tambahnya.
Rawatan hernia merupakan salah satu prosedur paling biasa dilakukan pakar bedah serata dunia.
Hernia boleh dirawat dengan memperbaiki lubang pada dinding perut dengan jaring bedah bagi menghalang komplikasi.
Ini dilakukan menerusi pembedahan terbuka atau laparoskopik (yang juga dikenali sebagai lubang kunci atau keyhole).
Menurut NUH pihaknya menjalankan lebih 400 prosedur hernia setiap tahun, dengan sekitar 80 peratus merupakan pembedahan invasif kecil dan robotik.
NUH juga yang pertama menjalankan pembedahan robotik di Asia pada 2016 dan antara yang pertama di dunia untuk melaksanakan pembedahan hernia yang kompleks dengan bantuan robotik dalam dinding perut serta pembaikan semula.
Antara cara mengelak daripada menghidap hernia, orang ramai dinasihatkan agar usah mempunyai berat badan terlalu gemuk, kerap bersenam, selain cegah daripada merokok.
"Singapura menyaksikan pertumbuhan kejadian masalah hernia dalam penduduk yang menua dengan sekitar sepertiga kes melibatkan mereka berusia 60 tahun ke atas. Terdapat juga pertambahan kes-kes yang kompleks serta profil mereka yang datang untuk rawatan, termasuk pesakit kencing manis, kegemukan dan penyakit jantung. Lantas ini memerlukan pendekatan berbilang disiplin dan kepakaran dengan persiapan sebelum pembedahan perlu dibuat agar pesakit mampu mencapai hasil yang optimal." - Konsultan Kanan Jabatan Pembedahan NUH, Profesor Davide Lomanto.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg