PARA penduduk di estet perumahan baru Bidadari boleh menjangkakan lebih banyak pilihan makanan, dengan Pusat Penjaja Woodleigh Village dijadual dibuka pada separuh kedua tahun ini.
Terletak di Blok 202C, Woodleigh Link, yang terletak bersebelahan Woodleigh Mall dan dekat dengan stesen MRT Woodleigh, ia akan menyediakan 39 gerai makanan dan lebih daripada 700 tempat duduk.
Perusahaan yang turut peka hal sosial dipelawa menyerahkan tender bagi pengurusan pusat penjaja itu, menurut satu tender yang diterbitkan Agensi Sekitaran Nasional (NEA) pada 16 Disember lalu.
Ini termasuk perusahaan sosial dan persatuan koperatif
Pusat Penjaja Woodleigh Village akan menambah kepada pusat penjaja lain yang dibuka di serata pulau tahun lalu.
Dalam satu catatan bulan lalu, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, berkata di sebalik penangguhan pembinaan akibat pandemik Covid-19, empat pusat penjaja baru - Fernvale, One Punggol, Senja dan Bukit Canberra - serta dua yang menggantikan di Market Street dan Margaret Drive mula beroperasi.
"Bersama, keempat-empat pusat penjaja baru itu akan menjadikan sejumlah 134 gerai makanan baru," katanya.
Menurut The Straits Times, seorang jurucakap NEA, berkata Pusat Penjaja Woodleigh Village tidak akan menyediakan seksyen pasar, sambil menambah bahawa sumber-sumber hasil pasar lain tidak kurang disediakan dalam kawasan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg