KERANCAKAN dilihat di beberapa pusat penjaja dan kedai kopi selepas peraturan menjamu selera di luar hingga lima orang (termasuk dari isi rumah berbeza) bermula semalam.
Ini hanya berkuat kuasa bagi premis yang dapat menyemak status vaksinasi pengunjung.
Jika tiada sistem sedemikian, had pengunjung tetap hingga dua orang.
Penjaja dan pemilik kedai kopi dapat melihat kerancakan kawasan makanan sejak pagi semalam.
Sebahagian dari rancangan awal, hanya 11 pusat penjaja dan tujuh kedai kopi yang terpilih untuk menjalankan pengawasan pengunjung dan semakan status vaksinasi.
Pusat-pusat penjaja itu termasuk di Bedok, Beo Crescent, Geylang Serai, Holland Village, Sembawang Hills, Hawker Centre@Our Tampines Hub serta Pasir Ris Central dan Kampung Admiralty.
Pusat penjaja Kampung Admiralty, yang dikendalikan oleh NTUC Kopitiam & Foodfare, dilawati Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semalam.
"Kakitangan NTUC Foodfare diberi peranan berbeza - memeriksa status vaksinasi pelanggan, mengeluarkan pelekat dan menguruskan mereka yang beratur dan mengawal pelanggan kerana ramai yang menunjukkan status vaksinasi,'' kata Encik Ong, dalam catatannya di Facebook semalam.
Seorang pekerja sepenuh masa di Warong Lorong Fatimah di Pusat Penjaja Kampung Admiralty, Cik Ainun Hasan, 50 tahun, berkata:
"Pusat penjaja hari ini lebih meriah. Selalunya, ia lebih sunyi terutama ramai yang beli dan bungkus.
"Namun kini boleh menjamu selera hingga lima orang, lebih banyak keluarga boleh menjamu selera bersama termasuk warga emas serta rakan-rakan mereka."
Penjaja, Cik Ng Bee Leng, 57 tahun, yang menjual air tauhu di Pasar dan Pusat Penjaja Holland Village sejak 1970-an, berkata:
"Boleh rasakan perbezaan hari ini, lebih sibuk dari hari-hari yang lain. Lebih ramai ibu bapa juga membawa anak-anak mereka ke mari,'' katanya kepada The Straits Times (ST).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg