Dalam usaha mengiktiraf dan menghargai jasa sukarelawan serta rakan kongsi yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan warga emas, pusat penuaan aktif, Blossom Seeds, menganjurkan acara tahunannya dipanggil The Purple Party pada 14 Disember.
Acara itu, yang merupakan tradisi tahunan Blossom Seeds sejak 2016, kecuali pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19, bertujuan meraikan legasi kesukarelawanan di kejiranan Sembawang.
Diadakan di syarikat semikonduktor Micron Singapore buat kali pertama, acara tersebut disertai lebih sekitar 350 sukarelawan dari pelbagai latar belakang, termasuk sukarelawan korporat, sukarelawan agama dan belia.
Turut hadir di acara itu sebagai tetamu terhormat ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Cik Teoh Tsin Woon.
Antara sukarelawan yang diraikan ialah Cik Zaleha Karim, 72 tahun, yang telah menyumbang masa dan tenaganya kepada Blossom Seeds selama dua tahun.
Dalam temu bual bersama Berita Minggu (BM), Cik Zaleha menjelaskan bahawa dorongan untuk menjadi sukarelawan datang daripada rasa tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sebagai seorang sukarelawan, beliau memainkan peranan sebagai pendamping atau ‘befriender’ kepada warga emas lain yang tinggal keseorangan di Sembawang.
“Saya terdorong untuk menyumbang tenaga kerana saya ingin membantu warga emas yang kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan.
“Lagipun, saya juga seorang warga emas, jadi saya dapat berempati dan faham warga emas lain. Kami mungkin mempunyai tahap persefahaman yang sama,” jelas Cik Zaleha.
Cik Zaleha, yang sudah bersara, membantu secara sukarela di Blossom Seeds setiap dua minggu. Beliau juga seorang sukarelawan di Masjid Assyafaah di Sembawang sejak 18 tahun lalu.
Beliau meluahkan rasa gembira dan terharu dengan penghargaan yang diberikan melalui acara seperti The Purple Party.
“Acara ini membuatkan saya dah sukarelawan lain rasa dihargai dan disayangi. Ia juga peluang untuk kami berkumpul dan saling mengenali,” ujar Cik Zaleha.
Tambah Cik Zaleha, beliau menghargai peluang berinteraksi dengan warga emas dari kaum lain, yang membolehkannya mempelajari lebih lanjut tentang budaya mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg