Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat perkasa kaum Adam bakal ditubuh
Pusat perkasa kaum Adam bakal ditubuh
SEBUAH pusat perlindungan bagi kaum Adam yang menjadi mangsa keganasan domestik bakal ditubuhkan tahun depan.
Diberi nama Pusat bagi Lelaki dan Keluarga (CMF), pusat itu juga bertujuan memberi perlindungan kepada pelaku keganasan domestik lelaki dan lelaki yang tiada tempat tinggal kerana mengalami masalah keluarga.
Ia dibuka kepada lelaki berusia 18 tahun dan ke atas.
Buat masa ini ruang fizikal bagi pusat perlindungan yang menjangka menempatkan sehingga 40 penghuni itu sedang dicari, kata pengasas dan pengerusi pusat itu Encik Hamzah Abdul Mutalib.
Namun, berkongsi rancangannya dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Hamzah berkata beberapa program dan bengkel relevan akan dilaksanakan terlebih dahulu - sekitar suku pertama tahun depan.
Ini termasuk program berkaitan dengan watak positif kelelakian, isu tentang kelelakian, serta latihan kemahiran hidup dan perhubungan dengan keluarga.
Akan disediakan juga bimbingan dan program penempatan berstruktur bagi lelaki yang menggunakan kekerasan dan keganasan serta lain-lain lagi.
Encik Hamzah, yang juga pengasas dan mantan presiden Rumah Wanita Casa Raudha - pusat perlindungan bagi wanita - berkata idea di sebalik penubuhan pusat serupa bagi lelaki diilhamkannya sejak lebih lima tahun lalu.
Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tentang inisiatif itu.
"Sebagai pemegang taruhan yang seimbang dan penting dalam keluarga, pertubuhan dan masyarakat, lelaki perlu dibantu," kata Encik Hamzah.
"Dengan menghasilkan perkhidmatan yang berkesan, kami membayangkan sebuah masyarakat lelaki yang kuat, baik hati nurani, bijak serta inovatif, dihormati, serta mempunyai kesedaran diri, penyayang, berkeyakinan dan prihatin akan perkembangan dan perhubungan keluarga yang menyeluruh," tambahnya.
Menjawab soalan Berita Harian (BH) jurucakap Persatuan Terhadap Keganasan Keluarga (SAFV) berkata sejauh ini ia menerima 34 lelaki yang menghantar e-mel kepada persatuan itu untuk bertanyakan tentang bantuan.
Namun tidak dinyatakan sejak bila SAFV menerima e-mel tersebut. Ini termasuk 19 lelaki yang mendakwa jadi mangsa keganasan oleh pasangan mereka dan lagi lima yang mengaku menjadi pelaku keganasan.
Menurut jurucakap tersebut, kurangnya ruang peribadi dan bertambahnya interaksi semasa tempoh pemutus litar ketika pandemik mungkin menyumbang kepada peningkatan kemungkinan timbulnya salah faham, konflik dan perhubungan tidak sihat.
"Ini mungkin menyebabkan bertambahnya sifat agresif, penderaan dan ganas.
"Biasanya kurangnya sistem sokongan dan sifat menyendiri juga menyumbang kepada kaedah kurang penyesuaian untuk menghuraikan konflik dan bagi menangani emosi semasa konflik," tambah jurucakap tersebut.
CMF mungkin satu-satunya pusat perlindungan yang ditubuhkan khusus bagi lelaki di Singapura dan berlaku sedang perhatian diberikan kepada masalah keganasan domestik yang meningkat.